Ketua Menteri Sabah: Hajiji Tidak Berminat


Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, suhu politik negeri di bawah bayu semakin panas. Pengumuman senarai calon oleh parti-parti utama jelas menunjukkan perubahan arus dengan kedudukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor kini tidak lagi sekuat dahulu.

UMNO tampil dengan 41 calon, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan 10 calon termasuk satu calon pinjaman dari GRS, Jamawi Jaafar manakala DAP mempertaruhkan 7 calon (asalnya dirancang 8). Tinggal hanya 15 kerusi DUN yang dikatakan akan ditandingi oleh GRS.

Situasi ini menimbulkan persoalan besar, apakah Hajiji Noor benar-benar sudah hilang minat untuk mempertahankan pengaruhnya sebagai Ketua Menteri Sabah?

Hajiji telah menjadi wakil rakyat di DUN Sulaman selama tujuh penggal berturut-turut. Namun persoalan utama yang bermain di fikiran rakyat ialah apa yang telah beliau lakukan untuk Sulaman selama ini?

Penduduk setempat rata-ratanya berpendapat pembangunan di Sulaman semakin perlahan dan tidak seimbang. Projek rakyat terbengkalai, peluang pekerjaan tidak meningkat, kemudahan asas masih lemah seolah-olah masa terhenti di kawasan itu sejak dua dekad lalu.

Yang menikmati kemewahan hanyalah keluarga dan kroni politik Hajiji, manakala rakyat biasa terus menunggu janji-janji yang tidak pernah tertunai.

Selepas lebih dua dekad UMNO-BN menabur bakti di DUN Sulaman (1994–2018), peralihan kuasa kepada Hajiji telah menyebabkan banyak rancangan pembangunan terbantut.

Kini, UMNO tampil dengan iltizam baharu dengan memperkenalkan calon muda dari sayap Pemuda UMNO, Dr. Shahnon Rizal Thaijuddin, seorang doktor perubatan yang dikenali dan disegani di kawasan Sulaman.

Dr. Shahnon dilihat sebagai wakil generasi baharu berpendidikan, berintegriti, berjiwa rakyat dan bebas daripada permainan politik lama. Beliau hadir dengan semangat untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukan mengaut kuasa untuk diri sendiri.

Slogan “Bikin Balik Sabah” yang dibawa UMNO-BN bukan sekadar retorik, tetapi tekad untuk mengembalikan maruah dan kemajuan sebenar ke DUN Sulaman sesuatu yang telah lama hilang di bawah pentadbiran GRS.

Sejak keluar daripada UMNO untuk menyertai PPBM dan kemudian menubuhkan Gagasan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji dilihat lebih sibuk mengukuhkan kedudukan politiknya daripada menunaikan amanah kepada rakyat.

Langkah politiknya yang kerap berubah arah menyebabkan beliau hilang kepercayaan di mata rakyat.

Lebih parah, selepas tularnya video melibatkan ahli perniagaan Albert Tei yang dikaitkan dengan isu rasuah, Hajiji mula menunjukkan tanda-tanda panik. Kini beliau dilihat terlalu bergantung kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sehingga GRS hanya diperuntukkan 15 kerusi dalam gabungan GRS–Madani.

Hakikat ini menggambarkan bahawa pengaruh politik Hajiji semakin lemah dan terpinggir.

Rakyat Sulaman kini berdepan pilihan penting samada terus mengekalkan wakil rakyat yang hanya menjaga kepentingan elit atau memberi peluang kepada wajah baharu yang benar-benar ingin berkhidmat.

Dr. Shahnon Rizal Thaijuddin membawa harapan baharu untuk Sulaman. Seorang profesional muda yang berjiwa rakyat dan memiliki visi untuk membangunkan masyarakat dari akar umbi.

UMNO-BN tampil menawarkan kepimpinan yang bersih, berwibawa dan berpandangan jauh agar Sulaman dapat bangkit semula ke landasan pembangunan.

Kepimpinan Hajiji Noor kini berada di penghujung jalan, keengganannya mempertahankan dominasi politik sendiri menunjukkan beliau tidak lagi berminat atau tidak lagi berdaya memimpin Sabah.


Kini tiba masa rakyat Sulaman membuat keputusan berani mengembalikan semangat pembangunan sebenar melalui kepimpinan baharu.

“Bikin Balik Sabah” dari Sulaman, Gelombang Perubahan Bermula.

Biodata Ringkas Dr. Shahnon Rizal Thaijuddin

Umur: 32 tahun

Kelulusan: M.D. (Medical Degree), Kursk State Medical University, Kursk, Russian Federation (2018)

Jawatan dalam UMNO:
Ketua Penerangan Pemuda Bahagian Tuaran
AJK UMNO Bahagian Tuaran
AJK Pemuda Bahagian Tuaran

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.