Di tengah rancak program kempen pilihanraya DU Sabah dan semakin memuncak menjelang 29 November, satu perkara semakin jelas adalah Warisan berada dalam keadaan terdesak dan semakin kurang yakin mampu menang secara solo.
Walaupun Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal mengulang skrip lama bahawa Warisan “mahu bertanding dan membentuk kerajaan negeri secara bersendirian”, nada yang dibawa kali ini jauh berbeza, lebih berhati-hati, lebih berkias, dan jelas mula bertukar nada.
Dalam wawancara The Breakfast Grille di BFM, Shafie mengakui bahawa Warisan “masih membuka sedikit ruang kerjasama dengan parti lain selepas PRN”, namun dengan syarat ia “menguntungkan Sabah”. Hakikatnya, ayat itu hanya memberi bayangan bahawa Warisan tidak lagi yakin mampu membolosi jumlah kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan sendiri.
Jika benar Warisan sudah cukup kuat, mengapa perlu mula bercakap tentang kerjasama selepas PRN?
Jika benar sokongan rakyat seperti yang didakwa, mengapa nada pimpinan tertinggi semakin defensif?
Lebih menarik, Shafie turut menegaskan bahawa “sekutu” Warisan hanyalah rakyat Sabah. Kenyataan ini kedengaran idealistik, namun di sisi lain menggambarkan tiada parti politik yang benar-benar yakin atau bersedia berpihak kepada Warisan, apatah lagi untuk membentuk blok stabil selepas pilihan raya.
Dengan landskap semasa yang memperlihatkan Warisan semakin hilang taring dan momentum, kenyataan Shafie ini dilihat ramai penganalisis sebagai satu bentuk signal awal bahawa parti itu sedang merancang ‘exit strategy’ sekiranya keputusan PRN tidak memihak kepada mereka.
Sebagai parti yang pernah menguasai Sabah, Warisan kini berdepan tekanan besar untuk menunjukkan bahawa mereka masih relevan. Namun gaya komunikasi terbaru Shafie lebih menyerupai langkah berjaga-jaga daripada keyakinan seorang pemimpin yang pasti akan menang.
PRN Sabah kali ini bakal menjadi detik penentu sama ada Warisan bangkit semula, atau kenyataan ‘ruang kerjasama’ itu sebenarnya petanda mereka sudah bersedia menerima keputusan yang tidak memihak kepada mereka.
Pengamat politik tempatan turut mengatakan bahawa Barisan Nasional kini semakin naik ‘graf sokongan’ dari rakyat kerana slogan “Bikin Balik Sabah” menunjukkan bahawa Barisan Nasional telah bersedia untuk memimpin kerajaan Sabah kali ini.

Comments
Post a Comment