Kempen 'tolak Malaya' tak jalan di Sook




Norzie Mohd. Khasbi

SOOK: Sentimen 'tolak Malaya' yang menjadi modal kempen sesetengah parti pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah tidak laku untuk memancing undi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook.

Calon Barisan Nasional (BN) Sook, Dato' Sri Arthur Joseph Kurup berkata, pengundi sekarang sudah bijak membezakan antara wakil rakyat yang benar-benar mampu menjaminkan masa depan lebih baik dan mereka yang hanya suka bermain retorik politik.

Di Sook, penduduknya tidak berminat dengan isu-isu politik yang tidak memberi manfaat kepada rakyat, sebaliknya mereka hanya mahu mendengar apa yang boleh ditawarkan oleh calon bertanding.

"Saya yakin pengundi di daerah Sook cukup bijak untuk menilai, mereka tidak akan bergantung kepada retorik-retorik politik..mereka ingin melihat apakah hasil daripada perjuangan politik seseorang calon atau wakil rakyat.

"Saya selama ini telah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di sini, dan saya yakin rakyat boleh menilai khususnya projek infrastruktur yang saya telah bawa daripada pendidikan, termasuk jalan-jalan raya yang besar.

"Semua usaha yang boleh menjaminkan masa depan yang lebih baik untuk bangsa, khususnya anak-anak muda. Jadi sekiranya kita hanya membawa retorik politik, syok (seronok) untuk bercerita, dia kasi sedap ini telinga, tetapi apa hasilnya?

"Rakyat mengundi sebab mahu masa depan yang lebih cerah yang lebih baik, sebab itu saya boleh beri jaminan sekiranya saya juga diberi peluang untuk berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri," kata Arthur.

Arthur, 43, juga yakin, sentimen anti-Malaya tidak menjejaskan sokongan terhadap Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kerana mereka mewakili orang tempatan, malah sudah berakar umbi di Sook.

"Di sini langsung tak jalan (kempen anti-Malaya), sebab kita di sini diwakili parti tempatan. Saya Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, parti yang lahir di Sabah dan berakar di daerah Sook, daerah kita sendiri.

"Maka itu sebenarnya satu kelebihan, di mana sebuah parti dari kawasan luar bandar di Sabah ada peranan dan juga ada tanggungjawab serta jawatan di peringkat persekutuan. Saya yakin rakyat nampak kelebihan itu dan mudah-mudahan akan memberi tugas lebih besar kepada kita," katanya.

Arthur antara pemimpin muda Sabah yang menonjol di peringkat persekutuan dengan memegang jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan biarpun PBRS dianggap parti minoriti, dan hanya bertanding di dua DUN.

Selain Arthur, yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, PBRS turut menempatkan calon di DUN N36 Kundasang iaitu Japirin Sahadi.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.