Berita kemungkinan MIC keluar daripada Barisan Nasional (BN) semakin hangat diperkatakan, namun keputusan ini dipercayai hadir bersama implikasi besar terutamanya tuntutan pampasan berjumlah RM100 juta.
Difahamkan, jumlah itu adalah daripada komitmen akujanji serta bon bernilai RM100 juta yang ditandatangani setiap Ahli Parlimen Umno dan BN di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Ia berfungsi sebagai jaminan bahawa mereka tidak akan meninggalkan gabungan atau menyertai pakatan politik lain yang tidak dianggotai Umno.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan bahawa Fasal 20.11 Perlembagaan Umno menetapkan keahlian seseorang gugur serta-merta sekiranya mereka sebagai Ahli Parlimen memilih untuk menyertai pakatan politik lain.
“Ini termasuk menandatangani perjanjian untuk membentuk pakatan dengan parti lawan sekali gus bertentangan dengan pendirian parti. Sebarang perlanggaran menyebabkan mereka wajib membayar RM100 juta kepada parti,” jelas beliau.
Dr Asyraf turut merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Zuraida Kamaruddin lawan PKR yang mengesahkan bahawa bon RM10 juta yang ditetapkan PKR adalah sah dan perlu dibayar. Menurutnya, pindaan dan ketetapan ini dibuat berdasarkan pengajaran daripada ketidakstabilan politik pasca-PRU14.
Situasi ini sekali gus meletakkan MIC dalam kedudukan sukar kerana tuntutan pampasan itu dijangka menjadi pertimbangan utama sebelum parti mengumumkan hala tuju politiknya.
Perhimpunan Agung Tahunan MIC Ke-79 mencatatkan detik penting apabila perwakilan sebulat suara menyokong resolusi untuk menamatkan penyertaan parti itu dalam BN. Namun, keputusan muktamad masih ditangguhkan dan diserahkan sepenuhnya kepada Presiden, Tan Sri S. A. Vigneswaran bersama Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
Usul tersebut hasil perbincangan mendalam melibatkan pimpinan bahagian, cawangan, negeri, pusat serta akar umbi. Konsensus yang dicapai menyatakan bahawa kerjasama dengan BN tidak lagi menyediakan ruang mencukupi untuk MIC memainkan peranan efektif dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat India.
MIC turut menyatakan kesediaan untuk memohon menyertai Perikatan Nasional (PN), namun ia tertakluk kepada prosedur perlembagaan parti serta keputusan pucuk pimpinan.
Timbalan Presiden, Datuk Seri M. Saravanan, sebelum ini membentangkan usul mengenai kemungkinan keluar BN atau menyertai PN. Usul itu dibahaskan secara meluas sebelum perwakilan bersetuju untuk menyerahkan keputusan akhir kepada pimpinan tertinggi.
Perhimpunan kali ini turut menjadi perhatian kerana ketiadaan wakil rasmi BN, walaupun beberapa parti yang menyokong gabungan itu hadir sebagai pemerhati.
Sebanyak 1,808 perwakilan hadir, memberikan legitimasi penuh kepada keputusan yang dicapai pada persidangan bersejarah tersebut.
Menurut beberapa penganalisis politik tempatan, MIC dilihat kurang menggunakan platform Perhimpunan Agung sebagai medan merangka strategi kebangkitan parti dan memperkukuh agenda memperjuangkan masyarakat India.
Sebaliknya, parti itu lebih banyak menumpukan masa membincangkan kedudukan mereka dalam BN tanpa hala tuju yang jelas terutama selepas prestasi MIC pada pilihan raya yang semakin merosot.

Comments
Post a Comment