SOOK: Jangan hanya berjanji dan muncul waktu pilihan raya tetapi 'hilang' selepas menang.
Itu harapan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, 29 November ini.
Isu tanah, air dan jalan masalah paling banyak dibangkitkan penduduk di beberapa buah kampung di daerah Sook, dan diharap mendapat perhatian serius oleh ADUN baharu.
"Kami mahu tengok yang bekerja, kami tidak mahu yang masa begini sahaja dia akan muncul, nanti kalau selepas tamat pilihan raya, hilang begitu sahaja.
"Kami mahu yang nampak kerja dia kerana kami mahukan perubahan. Kalau betul-betul yang kami sokong dia (menang), harap-harap ada perubahan ketara," kata Haimi Jahipi, 43, dari Kanukakatan Baru.
Antara masalah penduduk Kanukakatan Baru adalah jalan utama yang sering dinaiki banjir menyebabkan mereka 'terkepung', dan pernah berlaku kanak-kanak tidak dapat ke sekolah hampir tiga minggu.
"Isu besar lain adalah geran tanah, ini boleh buat orang bergaduh kalau tidak diselesaikan segera. Tempat saya dulu sudah dibatalkan kerana ada isu bertindih tetapi selepas pertindihan selesai, saya mohon lagi, sudah tujuh tahun masih tidak dipanggil," katanya.
Anak muda dari Kampung Ansip, Nurul Hidayah Abdullah pula mahukan perubahan dan percaya, calon Barisan Nasional (BN), Dato' Arthur Joseph Kurup orang paling tepat yang dapat merubah landskap Sook.
"Dia berwibawa, sangat teliti dan amat laju membuat kerja," katanya sambil menegaskan, dia dan keluarganya tidak lupa jasa Arthur menghulur bantuan ketika kampung mereka ditimpa musibah banjir tiga kali tahun ini.
Bagi warga emas berusia 74 tahun, Jaiking Siambing dari Kampung Ansip, pada pilihan raya kali ini beliau memilih Arthur kerana kagum dengan projek-projek yang telah dilaksanakan sebagai Ahli Parlimen Pensiangan, terutama projek jalan raya.
Datuk Ellron Angin dari Gabungan Rakyat Bersatu (GRS) adalah penyandang ADUN Sook, dan beliau akan ditentang oleh empat calon lain diketuai Arthur, Ireneus Pagut@Jreneus Pagut (STAR), Joseph Peter Tinggi (Warisan) dan V Chong Vin@Siau Ho (Parti Impian Sabah).

Comments
Post a Comment