Joachim Pemimpin Kundasang Paling Gagal - Japiril

Calon Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Japiril Suhaimin mendedahkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N36 Kundasang, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menunjukkan keberanian politik atau kecekapan pentadbiran untuk memacu transformasi setempat.

Calon Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Japiril Suhaimin mengasak penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N36 Kundasang, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan mempertikaikan rekod pentadbiran lima penggal yang disifatkannya paling gagal.

Beliau menegaskan bahawa pertandingan 10 penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 membuka ruang lebih luas untuk pengundi menilai semula keberkesanan penyandang selepas tempoh 25 tahun yang menurutnya tidak menunjukkan peningkatan jelas.

“Pertandingan 10 penjuru ini memudahkan rakyat mengenal pasti pemimpin yang benar-benar bekerja dan menolak mereka yang sekadar memegang jawatan tanpa hasil.

“Selepas 25 tahun, rakyat perlu bertanya sama ada Joachim telah membawa kemajuan sebenar atau terus membiarkan Kundasang berada pada tahap yang sama tanpa hala tuju konkrit,” katanya ketika ditemui di Kundasang Guest House, Mesilou, di sini kelmarin.

Japiril berkata kadar pembangunan yang perlahan di Kundasang mencerminkan kegagalan mendasar dalam kepimpinan penyandang yang sepatutnya sudah lama menghasilkan perubahan ketara bagi manfaat penduduk.

Beliau menambah, penduduk telah menunggu terlalu lama untuk melihat kemajuan yang lebih strategik, namun penyandang tidak menunjukkan keberanian politik atau kecekapan pentadbiran untuk memacu transformasi kawasan.

“Perubahan yang berlaku hanya kecil dan tidak sepadan dengan lima penggal pentadbiran yang begitu panjang.

“Selepas dua setengah dekad, hasil pembangunan yang masih perlahan membuktikan kepimpinan ini bukan sahaja kurang berkesan bahkan paling gagal dalam mengangkat martabat Kundasang,” tegasnya.

Menurut Japiril, kelemahan dalam pentadbiran kampung di bawah penyandang turut menjejaskan perancangan jangka panjang yang kritikal untuk penyelarasan projek dan kesejahteraan penduduk.

Beliau berkata, struktur lantikan politik di peringkat kampung menyebabkan projek asas sering tergendala dan menyukarkan pembangunan yang memerlukan perancangan lebih tersusun.

“Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) mesti dipilih oleh rakyat supaya mereka bertanggungjawab secara langsung kepada komuniti dan bukan kepada pengaruh politik.

“Jika mereka dipilih rakyat, setiap kampung akan dapat membentuk pelan pembangunan lima tahun yang lebih mantap, realistik dan mampu membawa perubahan berimpak tinggi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Japiril turut menegaskan kelewatan pembangunan infrastruktur asas berpunca daripada kelemahan penyandang yang tidak berani mendesak kementerian berkenaan bagi menuntut hak rakyat Kundasang.

Beliau berkata, wakil rakyat perlu turun sendiri bertemu menteri dan memantau setiap permohonan agar projek penting seperti jalan raya, bekalan air dan kemudahan pendidikan tidak terus tertangguh tanpa tindakan.

“Ketiadaan keberanian politik dan pengalaman praktikal menjadikan pembangunan Kundasang terbantut dan rakyat terpaksa menanggung kesannya selama 25 tahun.

"Pengundi kini lebih kritikal dan semakin menuntut pemimpin yang berupaya membawa transformasi nyata serta memperbaiki kelemahan yang dibiarkan selama lima penggal," jelasnya.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.