Kawasan Kundasang dalam daerah Ranau menempatkan ramai orang yang menjalankan kerja-kerja menanam sayur dalam bidang pertanian untuk dijual khususnya kepada pelancong yang datang melawat kawasan ini.
Bagaimanapun, keadaan rangkaian jalan raya yang dekat dengan kawasan mereka menjalankan aktiviti pertanian adalah teruk dan tidak berturap menjadikan proses membawa keluar hasil tanaman adalah sukar.
Bagi calon Barisan Nasional (BN) Japirin Sahadi, langkah memperbaiki jalan yang dikenali sebagai jalan pertanian ini juga diberikan keutamaan untuk dilaksanakan jika dipilih sebagai ADUN Kundasang nanti.
"Banyak yang kita perlu perbetulkan dan perbaiki contohnya jalan raya perkebunan yang banyak kita lihat sendiri, kebanyakan penduduk di sini menjalankan aktiviti pertanian menanam sayur tapi jalan rayanya agak teruk.
"Jalan raya ini adalah satu rangkaian jalan raya untuk mengeluarkan hasil tanaman kita tetapi saya melihat penyelenggaraan jalan raya itu tidak dibuat dan kita melihat ini sebagai satu yang paling penting untuk penduduk kampung," katanya kepada pengundi sewaktu lawatan ke PDM Kampung Naradau.
Japirin berkata selepas adanya jalan raya yang lebih baik hasil pertanian boleh dibawa keluar dengan lebih cepat dan pembeli akan membuat pembelian yang lebih banyak serta mungkin akan dapat pembelian dalam jumlah yang besar.
Kundasang ialah satu kawasan mukim dalam daerah Ranau yang sudah popular di negara ini dikenali sebagai tempat membeli sayur yang segar-segar kerana keadaan tanahnya yang subur.
Banyak lokasi di sekitar Kundasang boleh dilihat dijadikan tempat menanam sayur yang segar-segar khususnya dan antara sayur popular ialah kubis.
Penanaman sayur begitu popular sehingga di Kundasang ada diadakan Pesta Kubis Kundasang dengan acara terakhir diadakan pada 13 hingga 16 September lepas di Pentas Budaya Kundasang di Pekan Kundasang.
Pengunjung berpeluang datang dan membeli hasil pertanian segar khususnya kubis serta produk tempatan yang lain.
Japirin Sahadi dari BN dari parti Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) akan menghadapi lawan 10 penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang akan berlangsung 29 November ini.
Jumlah pengundi di DUN Kundasang ialah 24,582.

Comments
Post a Comment