Japirin janji bantu selesai isu geran tanah penduduk


Isu pemilikan tanah penduduk di Sabah kekal menjadi permasalahan utama yang masih gagal diselesaikan secara tuntas termasuk bagi warga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang.

Kemelut yang telah cukup lama berlanjutan dibangkitkan calon Barisan Nasional (BN), Japirin Sahadi dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sewaktu beliau meninjau keadaan penduduk di Kampung Naradau yang berada di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pinousuk.

Beliau berkata, masalah tanah di Sabah khususnya di Kundasang masih berlanjutan sehingga kini dan ada penduduk yang belum memiliki geran tanah masing-masing.

“Malah ada yang sudah meninggal (dunia), masih tak dapat geran tanah, sekiranya tanah ini tidak diberi pemilikan geran tanah, bagaimana, kita hendak bantu.

“Salah satu syarat Jabatan Pertanian kita perlu geran tanah untuk dapatkan bantuan, sekiranya saya diberi peluang jadi wakil rakyat, saya akan cuba bantu.

“Macam mana kita mahu ubah, ia terpulang kepada kuasa yang diberi kepada kamu semua, sekarang ini tiada lagi wakil rakyat, tiada lagi kerajaan dan kamu diberi kuasa untuk memilih kerajaan dan wakil rakyat,” katanya sewaktu berucap kepada penduduk Kampung Naradau di Kundasang, Sabah, semalam.

Turut hadir pada lawatan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Sabah, Datuk Mohd Hasnol Ayub dan Ketua Bahagian PBRS Paginatan, Datuk Dr. Ewon Ebin.

Menurutnya, kalau mahu nasib dibela dengan lebih baik, maka, undilah calon BN dan beliau yakin serta percaya, sokongan di sini mampu mencecah 90 peratus.

“Untuk makluman semua, saya pernah ke sini sejak berkhidmat bersama Datuk Dr. Ewon Ebin lagi, kebanyakan penduduk di sini saya kenal.

“Saya tak cakap banyak pasal politik, sebab kami yang merasa dan melihat apa yang dibuat oleh wakil rakyat sebelum ini,” ujarnya.

Beliau memberitahu, banyak yang perlu ditambah baik demi keselesaan penduduk di kampung berkenaan seperti jalan raya yang perlu diperbaiki segera.

Katanya lagi, laluan menuju ke kebun juga perlu diadakan kerana penduduk di Kampung Naradau menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan.

“Selain itu, kita mahu pastikan kita punya bekalan elektrik tidak mati-mati, ini semua bermasalah dan bekalan air di sini juga tidak berapa baik, kalau kamu pilih calon BN, kita akan cuba perbaiki kemudahan ini untuk keselesaan penduduk,” tegasnya.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.