Japirin guna Facebook kongsi masalah penduduk

Japirin (lima dari kanan) sempat meluangkan masa dengan penduduk Kaingaran bagi mendengar masalah dihadapi mereka. - Gambar Facebook Japirin Sahadi FC

Calon Dewan Undangan Negeri (N36) Kundasang, Japirin Sahadi memiliki caranya yang tersendiri dalam mendekati penduduk di daerah tersebut.

Media sosial, Facebook digunakan beliau untuk berhubung dengan pengundi-pengundi, selain, memaklumkan dari semasa ke semasa tentang aktivitinya.

Menerusi perkongsian terbaru di bawah akaun Japirin Sahadi FC, calon Barisan Nasional dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu melakukan kunjungan ke Kampung Togop Darat, hari ini, bagi mendengar sendiri suara hati orang kampung yang amat memerlukan pembangunan di kawasan itu.

Turut serta pada lawatan tersebut ialah Datuk Dr. Ewon Ebin yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Sains dan Teknologi bersama Kerajaan Pusat, yang sudi berkongsi pandangan dan mendengar keluhan penduduk di situ.


Dalam perkongsian itu, beberapa masalah penduduk didedahkan antaranya jalan kebun serta laluan dari rumah ke rumah yang tidak diselenggara telah menyebabkan kesulitan anak-anak ke sekolah dan kesukaran membawa keluar hasil tani.

Selain itu, Japirin turut berkunjung ke Kampung Keiyip bagi menyampaikan sendiri perubahan yang mahu dilakukan beliau jika diberi mandat sebagai wakil rakyat DUN Kundasang.

Menerusi akaun tersebut juga, Japirin berkongsi perjalanannya ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Karagasan, Makgapoh dan Kaingaran, semalam.

Ketika di Makgapoh, Japirin telah mendengar satu masalah berat dibangkitkan penduduk di sana yang berdepan ancaman tanah mungkin diambil syarikat luar.

“Mereka meluahkan rasa bimbang apabila terdapat syarikat luar yang cuba menuntut hak ke atas tanah yang diwarisi turun-temurun.

“Saya mendengar setiap luahan dengan penuh perhatian dan saya berjanji, isu tanah Makgapoh tidak akan dibiarkan tenggelam begitu sahaja.

“Rakyat mesti dibela, hak mesti dipertahankan dan suara Makgapoh mesti di bawa ke meja yang sepatutnya. Makgapoh mengajar saya malam ini, walaupun bergelap, hati mereka tetap bernyala dengan keberanian, harapan dan keyakinan untuk perubahan,” kata Japirin.

Sewaktu berada di PDM Kaingaran pula, Japirin berkata, penduduk di situ meluahkan ketidakpuasan hati terhadap infrastruktur yang masih daif, jalan tidak sempurna, kemudahan asas lambat dibangunkan dan pembangunan yang tidak seimbang.

“Dalam pertemuan itu juga, saya amat tersentuh hati apabila orang kuat UMNO Kaingaran, Ghani Tahir tampil menyatakan sokongan padu terhadap saya.

“Sokongan ini bukan kecil nilainya, ia adalah tanda bahawa Kaingaran mahukan perubahan dan mereka mahu suara yang benar-benar membawa perjuangan rakyat,” katanya.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.