NABAWAN : Calon DUN N45 Sook, Dato' Sri Arthur Joseph Kurup berani menjanjikan tujuh tawaran utama kepada penduduk Sook kerana segala janjinya dalam Pilihanraya Umum (PRU) Ke-15 Daerah Sook telah ditunaikan dengan cemerlang.
Beliau yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berkata, beliau berani menabur janji kerana janji-janji beliau bukan sekadar janji kosong, sebaliknya segala projek yang dijanjikan telah dan sedang dilaksanakan.
"Saya berani bentang manifesto ini kerana pencapaian yang menyakinkan dalam manifesto PRU15 Daerah Sook," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Manifesto Calon N45 Sook Di Dewan Masyarakat Sook dekat sini.
Turut hadir Setiausaha Agung BN Malaysia, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua Penerangan PBRS Bahagian Sook, Sakim Ibrahim.
Sebelum itu, Arthur diumumkan sebagai calon No 4 bagi merebut kerusi DUN N45 Sook pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Antara janji yang telah dan sedang ditunaikan adalah menambahbaik perkhidmatan perbankan di daerah Sook, projek menaik taraf jalan Sapulut ke pekan Pagalungan bernilai RM380 juta, naik taraf jalan Sinaron, Sook ke Linayukon, Borneo bernilai RM320 juta, naik taraf jalan pekan Pagalungan ke Pensiangan bernilai RM120 juta dan naik taraf jalan Rancangan Belia Tiulon ke Kampung Simbuan bernilai RM156 juta.
"Saya baru berkhidmat sebagai wakil rakyat selama empat tahun.
"Walaupun baru empat tahun, banyak projek rakyat berjaya dilaksanakan," ujarnya sambil meminta rakyat tidak membandingkannya dengan calon yang telah berkhidmat 20 tahun.
Mengulas penambahbaikan perkhidmatan perbankan, Arthur berkata, sebelum ini, daerah Sook tidak memiliki bank.
Katanya, penduduk terpaksa pergi ke Keningau untuk urusan pengeluaran duit.
"Yang dapat bantuan pun ke sana untuk keluar duit.
"Bila dah keluar duit, mereka akan belanja di
sana. Ekonomi Keningau terus berkembang.
"Jadi, saya bawa masuk bank Agro ke Sook. Sejak ada bank ini, penduduk tidak perlu lagi ke Keningau untuk keluar duit," katanya.
Beliau menegaskan, rakyat tidak suka pemimpin yang suka berjanji.
"Jangan pilih pemimpin yang suka berjanji tetapi pilihlah pemimpin yang sudah terbukti menunaikan janji," tambahnya.
Justeru, katanya, masalah tanah, bekalan air dan elektrik yang masih membelenggu penduduk Sook akan menjadi fokus utama beliau jika dipilih menjadi wakil rakyat pada PRN17.










Comments
Post a Comment