Jangan sekadar tabur janji

Pemandangan di Kundasang cukup indah, tetapi, jika pusat peranginan itu dilengkapi dengan kemudahan asas yang sempurna, daerah tersebut mampu menjadi tumpuan pelancong.

Kemudahan air, elektrik dan jalan raya yang berlubang serta tidak rata bukanlah satu cerita baharu buat rakyat Sabah.

Tetapi, apa yang akan menjadi cerita atau topik berita utama adalah ketiga-tiga kemudahan itu mampu disediakan dengan baik oleh Kerajaan Sabah.

Sepanjang tiga hari penulis berada di Sabah, atau lebih tepat lagi di Kundasang, masalah tiga kemudahan asas itulah yang menjadi keluhan penduduk tempatan.

Dari Kota Kinabalu hinggalah ke Kundasang tiada topik lain yang diperkatakan warga Sabah, yang mana pada satu tahap, mereka sudah cukup lali apabila diajukan persoalan sedemikian.

Tiada riak wajah terkejut ataupun marah kerana menunggu bekalan air yang bersih, jalan cantik diturap dan bekalan elektrik yang stabil seperti menanti buah yang takkan gugur.

Walaupun ramai yang sudah berputus asa dan tidak lagi berharap pemerintah menunaikan janji, tetapi, jauh di sudut kecil hati rakyat Sabah masih mendambakan kemudahan asas yang lengkap dan sempurna.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, mampukah perubahan itu dilakukan?

Janji yang ditabur bukan sekadar janji dan manifesto yang dijaja setiap parti bertanding, menjadi ikrar yang wajib ditunaikan.

Seperti di Kundasang, seandainya pusat peranginan yang menjadi tumpuan pelancong itu dibangunkan sebaik mungkin dengan sistem jalan raya yang cantik, daerah tersebut pasti lebih banyak didatangi pengunjung.

Dengan sektor pelancongan yang pesat, Kundasang mampu memberikan sumber rezeki yang lebih mewah kepada warganya.

Justeru, bagi wakil rakyat yang bertanding, jangan lupa janji anda kerana sebaik ‘Yang Berhormat’ dipilih, ia bukan laluan untuk mengayakan diri sendiri, tetapi, sebaliknya membantu pengundi anda untuk hidup lebih selesa dan aman.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.