'Jangan layan isu perkauman, undi yang buat kerja'

Razali Rahman Antir

SOOK: "Tidak kisahlah, dia Murut kah, Dusun kah yang penting sebagai wakil rakyat dia harus membela nasib rakyat."

Itu penegasan penduduk Kampung Suan Batu 6, Keningau, Razali Rahman Antir yang menyelar sebarang kempen berbaur perkauman menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, Sabtu ini.


Razali, 51, yang akan mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) N45 Sook mengingatkan pengundi agar tidak mengundi kerana sentimen bangsa, sebaliknya memilih wakil rakyat berdasarkan kewibawaan dan kemampuan mereka berkhidmat.

"Tidak timbul isu kaum sebenarnya. Di Sabah berbilang kaum, jadi kita akan pilihlah wakil rakyat yang betul-betul membantu, (dari segi) infrastruktur dan masalah-masalah rakyat.

"Dia (calon) kena pandailah berfikir macam mana saya nak tarik pengundi supaya menyokong dia. Ini dia tengok kampung itu tidak mengundi dia, dia tidak mahu ambil tahu langsung. Contohnya kampung kami inilah, dia (wakil rakyat) tidak mahu ambil tahu langsung.

"Tidak pernah turun ke padang tanya apa masalah di kampung. Sebagai wakil rakyat dia harus membela nasib rakyat tetapi apabila seorang wakil rakyat tidak ambil peduli tentang permasalahan rakyat, inilah masalah sebenarnya," katanya ketika ditemui.

Razali berharap pengundi di Sook membuka mata serta minda, dan tidak termakan dengan pemimpin yang hanya suka menabur janji manis.

"Kalau percaya pada cakap-cakap, saya pun boleh bercakap kan. tapi kita mahu tengok pemimpin yang membantu rakyat, yang selama ini banyak membantu, itu yang kita sokong," katanya.

DUN Sook bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru, diketuai Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Dato' Sri Arthur Kurup yang bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN).

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu dijangka mendapat tentangan sengit daripada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga menyandang kerusi, Datuk Ellron Angin. Tiga calon lain adalah Ireneus Pagut@Jreneus Pagut (STAR), Joseph Peter Tinggi (Warisan) dan V Chong Vin@Siau Ho (PIS).

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.