Hobi Baharu Kerajaan GRS: Merobohkan Sekolah dan Rumah Orang Miskin?


Menurut kenyataan Suara Mahasiswa UMS di facebook rasmi mereka, Tawau kembali menjadi saksi kepada satu episod yang memilukan apabila sebuah syarikat kapitalis dengan kawalan ketat Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan kerja-kerja meroboh kebun kecil milik komuniti berhampiran Sekolah Alternatif Tawau hari ini.

Kebun yang menjadi sumber rezeki harian penduduk itu bukan sekadar tanah bercucuk tanam tetapi ia adalah simbol kelangsungan hidup komuniti setempat yang telah lama bergantung kepada tanah tersebut.

Namun, tindakan jentera berat yang memusnahkan hasil tangan petani kecil ini menimbulkan kebimbangan besar, adakah rumah-rumah penduduk, termasuk ruang pendidikan anak-anak di Sekolah Alternatif Tawau bakal menjadi sasaran seterusnya?


Fenomena pengusiran ini bukan kes terpencil. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini semakin jelas satu corak dasar yang menindas golongan miskin. Sekolah Alternatif Teluk Layan di UMS pernah menjadi mangsa. 

Kampung Teluk Layan sendiri telah digusur. Begitu juga Kampung Danau Baru di Papar, Kampung Kalansanan di Kota Kinabalu, Kampung Jempangah di Beaufort, Kampung Sembulan di Kota Kinabalu dan komuniti adat laut di kawasan Taman-Taman Sabah, semuanya mengalami nasib serupa, diroboh, dibakar dan dipadamkan dari peta kemanusiaan.

Apakah ini wajah sebenar “Sabah Maju Jaya”?

Apakah kemajuan hanya milik pemodal dan kroni sedangkan rakyat kecil dibiarkan tanpa tanah, tanpa rumah dan tanpa sekolah untuk anak-anak mereka?

Sekolah Alternatif memainkan peranan yang amat penting iaitu memberi akses pendidikan kepada anak-anak tanpa dokumen, anak pekerja ladang dan keluarga miskin bandar. Ancaman terhadap kawasan ini bukan sekadar isu fizikal tetapi serangan terhadap hak pendidikan yang dijamin oleh prinsip kemanusiaan sejagat.

Setiap kali tanah diambil, setiap kali kebun diroboh, satu lagi ruang harapan untuk anak bangsa dimusnahkan.

Kehadiran pihak polis mengiringi operasi kapitalis menimbulkan tanda tanya besar. Apakah fungsi sebenar pasukan keselamatan negara melindungi rakyat atau menjaga kepentingan modal? Apabila seragam biru berdiri di sisi jentera pemusnah, mesejnya jelas: kuasa dan kekayaan kini lebih utama daripada nyawa dan maruah manusia biasa.

Suara Mahasiswa UMS menyeru seluruh rakyat Malaysia terutamanya anak muda dan masyarakat kampus, agar bersolidariti bersama komuniti yang tergusur ini. Ini bukan sekadar isu tanah, ini soal maruah, kehidupan dan masa depan pendidikan anak bangsa.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.