Perhimpunan aman bertemakan “Tangkap Jerung” yang menyasarkan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor serta sekumpulan ADUN negeri yang dikaitkan dengan skandal rasuah perlombongan berlangsung tanpa insiden di luar Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini. Program itu berakhir selepas hampir dua jam.
Himpunan tersebut diketuai oleh pendedah maklumat, Albert Tei bersama kira-kira 100 peserta terdiri daripada aktivis dan pempengaruh media sosial yang sebelum ini giat menggerakkan kempen dalam talian mendesak SPRM mengambil tindakan terhadap individu-individu berkenaan.
Menjelang hari penamaan calon rasmi untuk PRN Sabah ke-17 esok, Tei sekali lagi mengingatkan pengundi agar meneliti calon yang diketengahkan parti-parti tertentu. Sehingga kini, GRS dan STAR telah menamakan 10 calon yang terpalit dengan siri pendedahan video yang dibuat olehnya.
“Jika anda mahu ‘jerung-jerung’ ini dihadapkan ke muka pengadilan, jangan undi mereka,” tegas Tei di hadapan para peserta.
Menurut penganjur, himpunan ini bukan sekadar mesej kepada SPRM, tetapi juga satu gesaan terus kepada rakyat Sabah supaya menggunakan kuasa undi bagi menolak calon yang dikaitkan dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa.

Comments
Post a Comment