Jika ada satu perkara yang rakyat Sabah paling takut ulang, ia adalah episod di mana mandat yang diberi telah disia-siakan. Warisan ketika menjadi kerajaan gagal menangkap denyut nadi rakyat sendiri.
Hari ini, apabila mereka kembali merayu simpati, persoalannya mudah, adakah rakyat sanggup menghulur tengkok sekali lagi kepada parti yang pernah membiarkan Sabah terabai?
Ini antara kegagalan Warisan:
Projek Pan Borneo bukan sekadar jalan raya, ia simbol masa depan ekonomi negeri. Namun sepanjang pentadbiran Warisan, projek ini bukan dipercepat, malah tergendala. Kontraktor keliru, fasa kerja kabur dan rakyat yang bergantung kepada nadi jalan raya ini terpaksa memandu melalui laluan bertampal dan separuh siap.
Warisan gemar menuding jari tetapi rakyat tahu: yang penting ialah hasil, bukan alasan dan hasilnya jelas bahawa Pan Borneo melambat di bawah pentadbiran mereka.
2. PTI Meningkat, Sabah Dibiarkan Terbuka Tanpa Kawalan
Isu Pendatang Tanpa Izin bukan perkara kecil bagi Sabah. Ia soal keselamatan, identity dan kedaulatan. Namun di zaman Warisan, masalah ini bukan mereda tetapi semakin parah.
Rampasan, penahanan dan kebimbangan masyarakat tempatan meningkat, semua ini kerana dasar longgar yang tidak memihak kepada rakyat Sabah. Banyak pihak melihat kerajaan ketika itu seolah-olah lebih berhati lembut terhadap PTI berbanding terhadap keresahan rakyat.
Jika Warisan kembali berkuasa, adakah isu ini akan kembali menular? Rakyat tidak mahu mempertaruhkan masa depan negeri sekali lagi.
3. PSS, Bukti Jelas Warisan Gagal Membaca Emosi Rakyat
Pas Sementara Sabah (PSS) menjadi luka politik terbesar Warisan. Rancangan untuk “menghalalkan” ribuan individu tanpa izin atas nama pentadbiran moden mencetuskan gelombang kemarahan luar biasa.
Rakyat Sabah meluahkan bantahan di setiap pelosok dengan ceramah, media sosial dan suara komuniti. Namun pemimpin Warisan tetap angkuh mempertahankannya sehingga saat akhir.
PSS bukan isu polisi tetapi ia adalah hakikat bagaimana kerajaan ketika itu buta terhadap perasaan rakyat.
Suara rakyat ketika itu lantang dengan isu harga barang meningkat, peluang kerja terhad tetapi pemimpin lebih sibuk bergaduh politik daripada menyelesaikan masalah asas. Namun kerajaan Warisan tetap dengan gaya kepimpinan elitis yang meminggirkan suara rakyat sendiri.
Warisan hari ini hadir membawa janji baharu, naratif baharu, dan imej seolah-olah mereka lebih matang. Tetapi sejarah tidak boleh dipadam. Rakyat Sabah tidak lupa bagaimana negeri ini dibiarkan dalam ketakutan, ketidakpastian dan kekecewaan.
Soalnya sekarang, adakah Sabah sanggup mengambil risiko menghulurkan tengkok sekali lagi kepada pihak yang pernah membiarkan rakyat merana?
Jawapannya sedang berlegar di kedai kopi, medan selera dan setiap rumah di negeri ini, tidak lagi!!
Biar Sabah bergerak ke depan, bukan kembali ke era kegagalan.



Comments
Post a Comment