SOOK : Sektor pertanian di daerah Sook semakin berkembang, sekali gus berjaya menambah pendapatan penduduk yang mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan.
Beberapa penduduk yang ditemui penulis berkata, program usahawan tani anjuran Parlimen Pensiangan telah membuahkan hasil.
Seorang usahawan tani wanita, Ruanah Rubin, 48, dari Kampung Papar Baru, berkata, beliau berjaya meningkatkan hasil tanaman salad selepas mengikuti program usahawan yang dikendalikan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kawasan Sook pada tahun lalu.
Menurutnya, sebelum mengikuti program tersebut, beliau menanam salad di atas tanah dengan nilai hasil setiap bulan kira-kira RM500.
Kursus ini telah dirasmikan Dato' Sri Arthur Joseph Kurup yang merupakan Ahli Parlimen Pensiangan.
Beliau ditemui pada Program Libat Urus Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Daerah Sook di Kampung Johan Jaya dekat sini, hari ini.
![]() |
| Ruanah Rubin |
Terdapat tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Pensiangan iaitu Sook, Tulid dan Nabawan.
Pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), 29 November ini, Dato' Sri Arthur Joseph Kurup bertanding di DUN N45 Sook.
Mengulas lanjut, Ruanah berkata, selepas mengikuti program usahawan tersebut, beliau menukar cara bercucuk tanam iaitu daripada tanam di tanah kepada teknik hidroponik.
"Dulu, tanam di tanah. Susah nak jaga pokok, selain hasil sedikit.
"Lepas tukar kepada teknik hiroponik, tanaman salad saya lebih subur dan tiada penyakit," ujarnya.
Beliau berkata, teknik hidroponik mendatangkan lebih banyak hasil iaitu sekitar 500 pokok setiap musim menanam dengan nilai pendapatan bersih kira-kira RM1,400 sebulan.
Mengenai pasaran salad, katanya, beliau membekalkan sayur tanamannya ke pasar awam dan pasar raya sekitar Keningau serta kedai runcit sekitar Sook.
"Ada juga pembeli datang sendiri ke kebun saya untuk mendapatkan salad yang baru dipetik," tambahnya sambil memberitahu kebunnya terletak dekat rumahnya.
Ditanya berapa peserta usahawan tani terlibat dalam projek tanaman hiroponik di kampungnya, Ruanah memberitahu setakat hari ini, terdapat 20 peserta.
"Ada yang tanam sayur sawi bunga, pak choy. Sambutan sangat baik," ujarnya.
Beliau berterima kasih kepada Dato' Sri Arthur kerana sentiasa menyokong program tanaman hidroponik di daerah Sook.
Dalam satu perkembangan lain, dua petani wanita yang mengusahakan tanaman padi bukit sepakat berkata, benih padi cepat tumbuh yang dibekalkan LPP Kawasan Sook membantu mereka menuai hasil lebih cepat.
Maurin Anggail,56, berkata, tanaman padi bukit di kawasan seluas kira-kira tiga ekar miliknya kini boleh dituai dalam tempoh tiga bulan.
"Saya bersyukur kerana Dato' Sri Arthur sentiasa prihatin terhadap petani kecil seperti kami. Banyak bantuan kami terima seperti baja dan racun," katanya yang menetap di Kampung Kebatang Baru.
Menurutnya, dahulu, hasil sedikit. Cukup makan sahaja. Tetapi sekarang, dengan tunjuk ajar dan nasihat LPP Kawasan Sook, beliau mampu menuai hasil lebih banyak.
Jiran sekampung, Laminon Gopokong, 64, bersyukur kerana hasil tuaian padi di kawasan tanaman miliknya seluas lima ekar semakin meningkat.
"Hasil padi bukit saya kini mencecah RM780 sekali tuai dan dalam tempoh sebulan, saya tuai sebanyak dua kali. Ini bermakna hujung bulan, saya boleh dapat kira-kira RM1,560.
"Terima kasih Dato' Sri Arthur kerana memberi peluang kepada kami, petani B40 untuk terus menuai hasil lebih banyak menerusi bantuan baja, racun dan khidmat nasihat," katanya.



Comments
Post a Comment