Perkembangan politik terbaru menunjukkan PAS akhirnya akur dengan realiti politik Sabah apabila parti itu hanya akan bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan keyakinan untuk menang sekurang-kurangnya satu kerusi sahaja.
Keputusan ini dibuat selepas rundingan terakhir dalam Perikatan Nasional (PN) yang bakal bertanding di 40 kerusi DUN, manakala baki 35 kerusi akan diagihkan kepada Bersatu (PPBM) Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Ronald Kiandee, selaku Pengerusi PN Sabah. Ronald dijangka mungkin akan memuktamadkan pembahagian bersama parti-parti tempatan dalam masa terdekat.
Keputusan PAS ini dilihat sebagai pengakuan bahawa agenda parti itu untuk menjadikan Sabah sebagai “Islamic State” versi Borneo dengan gelaran baharu “Sabah Darul Bayu” kini gagal direalisasikan.
Sebelum ini, PAS Sabah giat berkempen dengan mesej menjadikan negeri itu sebagai “kembar” kepada konsep SG4, gagasan empat negeri di bawah pemerintahan PAS yang digambarkan sebagai “bebas” daripada pengaruh judi dan arak. Namun, di lapangan, sambutan terhadap kempen berteraskan agama dilaporkan lemah dan tidak selari dengan demografi serta keharmonian masyarakat majmuk Sabah. Tambahan pula pentadbiran PAS di SG4 bukanlah bersifat ‘Islamic State’.
Rata-rata penyokong PAS sendiri meluahkan rasa kecewa atas keputusan pucuk pimpinan parti yang dilihat seolah-olah menyerah kalah sebelum berjuang. Ada yang menganggap mereka “tertipu” selepas dibuai janji bahawa Sabah akan menjadi negeri pertama di Borneo yang melaksanakan model pentadbiran Islam seperti di Kelantan dan Terengganu.
Sementara itu, kenyataan Pengarah Pilihan Raya PN, Tan Sri Annuar Musa turut mencuri perhatian apabila beliau menegaskan “Apa guna lokal kalau rasuah, tak berintegriti dan tidak mampu membangunkan rakyat serta Sabah,”.
Penganalisis politik Sabah menafsirkan kenyataan itu sebagai isyarat jelas bahawa PN, termasuk PAS, tidak akan menjalinkan kerjasama strategik dengan parti-parti tempatan.


Comments
Post a Comment