Duit Zakat Sabah 'Hilang': Salah Kira Dan Songlap Adalah Berbeza


Kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berhubung isu kehilangan wang zakat berjumlah RM14 juta milik Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) kini menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.

Walaupun SPRM menyatakan telah mengemukakan sembilan syor penambahbaikan tadbir urus kepada Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS bagi memperkukuh integriti serta ketelusan dalam pengurusan dana tersebut, kenyataan itu gagal menjelaskan inti sebenar persoalan utama apakah wang itu sekadar tersalah kira atau benar-benar disonglap?**

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah pula menyebut antara syor utama ialah supaya MUIS menetapkan had nilai perbelanjaan yang munasabah dan memastikan sebarang keputusan kewangan mesti mendapat pertimbangan serta kelulusan Majlis Tertinggi MUIS. Namun kenyataan itu menimbulkan tanda tanya besar jika kehilangan ini hanya salah kira, mengapa perlu ada syor memperketat kawalan kelulusan kewangan?

Pemerhati pentadbiran awam melihat situasi ini sebagai isyarat jelas bahawa berlaku kelemahan serius dalam sistem pengurusan dan audit dalaman MUIS.

Sekiranya benar tiada unsur penyelewengan, sepatutnya SPRM boleh menutup isu ini dengan laporan jelas bahawa ia hanya kesilapan teknikal. Namun, apabila syor yang dikemukakan menjurus kepada kawalan kelulusan, integriti dan tatakelola, maka ia menunjukkan ada kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa atau kebocoran dana.

Lebih membimbangkan, tiada penjelasan konkrit daripada Ahli Majlis Tertinggi MUIS sendiri, termasuk individu seperti Aliakbar Gulasan yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi MUIS yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah. Sebagai pihak yang berada dalam struktur pentadbiran tertinggi institusi tersebut, beliau sepatutnya tampil memberikan penerangan kepada pembayar zakat yang kini resah mempersoalkan ke mana hilangnya wang amanah itu.

Dalam konteks ini, isu “salah kira” tidak boleh disamakan dengan “songlap”.

Salah kira boleh diperbetulkan melalui audit dan semakan semula, manakala songlap melibatkan unsur jenayah, penyalahgunaan kuasa serta pecah amanah yang mesti dibawa ke muka pengadilan. Rakyat dan pembayar zakat Sabah tidak boleh menerima jawapan samar atau laporan kabur yang hanya menutup reputasi pihak tertentu.

Kehilangan RM14 juta wang zakat bukan jumlah kecil ia merupakan hak golongan asnaf dan fakir miskin. Maka, apa jua bentuk “penambahbaikan” yang diumumkan oleh SPRM dan MUIS tidak akan bermakna jika punca sebenar kehilangan tidak didedahkan secara telus.

MUIS dan SPRM kini berdepan tuntutan moral dan amanah besar bukan sekadar memperbaiki sistem tetapi mengembalikan kepercayaan umat Islam Sabah terhadap pengurusan zakat rakyat mahu tahu dengan jelas dan tanpa berselindung, dakah ini kes salah kira atau sebenarnya ada tangan-tangan halus yang menyonglap?

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.