Kenyataan terbaharu yang dimuat naik di laman rasmi Facebook PAS Melaka menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam. Dalam hantaran tersebut, PAS Melaka mengajak orang ramai menyumbang melalui “Infaq Sedekah Subuh” dengan sasaran dana RM50,000 bagi membantu gerak kerja pilihan raya di Sabah.
Antara kenyataan yang dikongsikan ialah:
“Semoga setiap sen yang diinfaqkan menjadi saksi amal soleh, membawa keberkatan dan membuka jalan kemenangan kepada calon Perikatan Nasional demi menawarkan pentadbiran yang berintegriti dan bertanggungjawab.”
Frasa “amal soleh” yang dikaitkan dengan sumbangan kepada jentera pilihan raya menimbulkan persoalan serius dari segi hukum dan akidah.
Hakikatnya, tiada dalil, nas mahupun sirah Rasulullah SAW yang menyokong bahawa memberi sumbangan kepada parti atau calon politik boleh dikategorikan sebagai amal soleh yang menjanjikan pahala dan keberkatan.
Sedekah dan infaq dalam Islam sememangnya amalan mulia tetapi matlamatnya mestilah jelas iaitu membantu fakir miskin, anak yatim, perjuangan agama yang sahih, atau maslahat ummah secara menyeluruh.
Mengaitkan dana politik dengan pahala akhirat tanpa asas syarak yang kukuh bukan sahaja mengelirukan umat, malah menodai kesucian maksud sebenar amal ibadah.
Lebih membimbangkan, penyalahgunaan istilah agama untuk menggerakkan dana pilihan raya membuka ruang kepada fitnah bahawa Islam dijadikan alat politik. Ia menimbulkan ketegangan sesama umat dan menjadikan agama bahan kempen bagi meraih undi dan bukan panduan suci untuk memperbaiki masyarakat.
Islam tidak boleh dijadikan topeng untuk mengabsahkan strategi politik. Jika perjuangan berteraskan Islam benar-benar dihayati, ia mesti berpaksikan kebenaran ilmu, keikhlasan dan adab, bukan manipulasi istilah suci untuk keuntungan parti.
Majlis Agama Islam Sabah wajar memantau serta menegur sebarang bentuk penyalahgunaan agama dalam kempen pilihan raya agar masyarakat tidak terus terperangkap dalam kekeliruan yang membahayakan aqidah dan perpaduan ummah.
Agama adalah panduan hidup, bukan instrumen politik dan pengundi di Sabah harus bijak menolak mana-mana kempen yang menunggang nama Islam demi undi.
“Anda boleh lihat aka nada ‘pesta’ menutip duit di ceramah PAS kelak..” kata warga Karambunai


Comments
Post a Comment