Tersebar satu dakwaan tidak berasas kononnya lebih 3,000 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Kem TLDM Sepanggar akan mengundi calon PAS di DUN Karambunai. Naratif itu dibina atas andaian dangkal bahawa majoriti anggota berasal dari Kelantan dan Terengganu, lalu secara automatik kononnya menyokong parti tersebut.
Seorang anggota TLDM yang enggan namanya disiarkan menolak keras dakwaan ini.
“Asal Kelantan atau Terengganu bukan bermakna mesti undi PAS. Kenyataan itu tidak tepat.”
Beliau menegaskan bahawa anggota tentera berpegang pada etika profesionalisme dan tidak membuat keputusan politik berasaskan emosi mahupun sentimen kenegerian.
“Anggota tentera sentiasa profesional. Kami memilih kerajaan berdasarkan kepentingan negara, kestabilan nasional dan kebajikan pasukan beruniform.”
Beliau turut menambah bahawa mengaitkan undi tentera kepada satu parti atas faktor negeri asal adalah satu bentuk manipulasi politik yang cuba memancing sentimen.
“Memilih hanya kerana sentimen negeri kononnya milik satu parti adalah salah. Kita pilih parti yang terbukti menjaga kebajikan anggota dan keluarga, bukan berdasarkan label budaya atau stereotaip.”
Kenyataan ini hadir sehari sebelum proses undi awal berlangsung. Di Sabah sahaja, hampir 25,000 anggota tentera, polis dan pasangan mereka akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.
Propaganda yang cuba mengheret institusi ketenteraan ke dalam permainan politik kepartian bukan sahaja tidak beretika, malah merendahkan integriti anggota yang selama ini menjaga keselamatan negara tanpa mengira fahaman politik sesiapa.

Comments
Post a Comment