KENINGAU - Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N45 Sook, Dato' Sri Arthur Joseph Kurup menghargai sokongan padu yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Arthur yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, sokongan kepadanya dan juga calon DUN Tulid N44, Datin Rufinah Pengeran itu meletakkan mereka di dalam kedudukan siap siaga untuk bekerja demi rakyat di kawasan itu.
"Beliau (PM) faham apa kita punya keperluan. Dari isu peluang pekerjaan, pendidikan di kawasan ini, isu MA63 dan masalah jalan lubang-lubang yang belum selesai, semua beliau faham.
"Sekarang ini cuma tinggal mahu kasi menang saja supaya semua kerja-kerja ini boleh berjalan sehingga selesai," katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra PM Sayang Sabah Bersama Pimpinan Masyarakat DUN Tulid di Kampung Menowo Ulu di sini semalam.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, Perdana Menteri terbukti mencapai pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa terutama kejayaan beliau menjalin hubungan baik dengan kuasa besar dunia sehingga membawa masuk pelaburan besar kepada negara.
"Jadi rakyat di Sook dan Tulid juga mahu merasa limpahan pembangunan dan kemasukan pelaburan itu yang akan memberi kekuatan ekonomi di sini," katanya.

Comments
Post a Comment