Proses Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 hari ini bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang berjalan dalam keadaan cuaca yang amat baik.
Acara itu yang berlangsung di Dewan Masyarakat Ranau amat meriah dengan dengan kehadiran kira-kira 2,000 orang penyokong dari pelbagai parti menyokong bakal calon mereka yang menghantar borang pencalonan.
Bagi kerusi DUN Kundasang, pertandingan 10 penjuru bakal berlangsung untuk merebut kerusi berkenaan selepas proses penamaan calon diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan diumumkan pada pukul 12.20 tengah hari.
Calon muka baharu dari Barisan Nasional (BN), Japirin Sahadi akan berdepan 9 calon lain termasuk penyandang kerusi sejak 4 penggal lepas iaitu Datuk Seri Joachim Gunsalam yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS).
Joachim bertanding mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Japirin akan memegang nombor 8 dalam senarai calon menjelang hari mengundi pada 29 November nanti.
Menurut Japirin ketika ditemui media, apa yang berlaku semasa penamaan calon adalah satu proses demokrasi biasa apabila ia melibatkan pertandingan sebanyak 10 penjuru.
"Kita akan usahakan yang terbaik untuk Barisan Nasional," katanya.
8 calon lain ialah Datuk Jattry @ Jeffry Mohd Ali (KDM), Datuk Japiril Suhaimin (SAPP), Dr Atong Antong (Perikatan Nasional), Nazarul Khaiwala Wahab (Parti Kerjasama Anak Negeri), Edward Jamkin @ Paul Arif (Parti Impian Sabah, Jeffrey Gopog (Warisan), Rogers Tiam (UPKO) dan Jackson Musi yang bertanding sebagai calon bebas.
Pada PRN ke-16 pada 2020, kerusi DUN Kundasang menyaksikan perebutan lima penjuru.
Jumlah keseluruhan pengundi di DUN Kundasang ialah sebanyak 24,582 orang.

Comments
Post a Comment