Selepas bergerak selama hampir 2 minggu sepanjang tempoh kempen bermula hari penamaan calon pada 15 November lepas, calon Barisan Nasional (BN) DUN N.36 Kundasang Japirin Sahadi sudah pun berjumpa hampir semua kelompok pengundi di seluruh kawasan Kundasang.
Beliau berkata dalam tempoh itu, beliau sudah pun berjumpa dengan golongan seperti petani, belia, pengusaha homestay dan pengusaha pelancongan sehingga mendapati banyak masalah yang dihadapi oleh penduduk di Kundasang.
"Kita telah mendapati berbagai-bagai aduan yang telah diberikan dan banyak yang perlu diperbaiki untuk memberi peluang mereka untuk mengembangkan ekonomi di kawasan DUN ini," katanya.
Menurut beliau, sekiranya diberi peluang berkhidmat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, berdasarkan rekod perkhidmatan oleh BN sebelum ini, Japirin yakin akan dapat menyelesaikan masalah-masalah tersebut.
Japirin menggariskan 9 perkara dalam manifestonya berdasarkan perkataan Sejahtera iaitu, S untuk jalan raya selesa, E untuk elektrik stabil, J untuk jaminan air bersih dan A untuk atasi isu tanah.
Manakala huruf H untuk himpun belia untuk menggiatkan aktiviti mereka, T untuk tingkatkan bahagian keusahawanan, E untuk edukasi pendidikan, R untuk rakyat didahulukan dan A untuk adil supaya mendapat Kundasang yang aman dan maju.

Comments
Post a Comment