Bosan Dan Terleka, Pengundi Kundasang Mula Pertikai 21 Tahun Status Quo


Sentimen sebahagian pengundi di Kundasang dilihat semakin berubah apabila ramai menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap isu berlarutan yang membelenggu mereka sejak lebih dua dekad di bawah kepimpinan wakil rakyat yang sama melalui lima pilihan raya.

Isu infrastruktur seperti jalan raya serta bekalan air dan elektrik terus menjadi rungutan penduduk yang mendakwa masalah itu masih belum ditangani secara menyeluruh walaupun sering diketengahkan sebagai janji pembangunan pada musim pilihan raya.

Keadaan Kundasang yang terdedah kepada bencana tanah dan jalan runtuh serta retakan tanah akibat struktur geologi Gunung Kinabalu turut menambah kerumitan, dengan penduduk berpendapat penyelesaian jangka panjang masih belum dilaksanakan secara konsisten.

Tinjauan dalam kalangan penduduk mendapati isu bekalan air bersih terus menjadi keluhan utama, apabila mereka mendakwa gangguan sering berlaku dan usaha pembaikan hanya melibatkan kawasan tertentu tanpa menangani punca sebenar masalah tersebut.

Dalam masa yang sama, penduduk turut menyatakan gangguan air menjadi lebih ketara pada musim kering dan ketika jumlah pelancong meningkat, dan ada yang berpandangan pelaburan serta pengurusan air sebelum ini belum mencukupi untuk memenuhi keperluan komuniti.

Menurut Md Fadzili Saliman, 37, penduduk semakin cenderung mahukan perubahan kerana isu asas berulang sejak beliau masih bergelar pelajar dan sehingga kini belum menunjukkan penambahbaikan ketara.

Dia yang juga pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kundasang memaklumkan bahawa jalan utama menuju sekolah tersebut tidak pernah dibaik pulih sepenuhnya, dengan pembaikan hanya melibatkan tampalan di lokasi tertentu.

“Sejak saya bersekolah di sini dari tahun 1995 hingga 2000 dan kini dua anak saya pula bersekolah di sini, keadaan jalan sepanjang 1.5 kilometer dari pekan Kundasang ke pintu pagar sekolah masih tidak berubah,” katanya.

“Saya percaya ramai pengundi Kundasang bersedia mempertimbangkan pilihan baharu kerana mereka mahu wakil rakyat yang dapat memberi penekanan kepada keperluan asas masyarakat tempatan,” katanya ketika ditemui di SK Kundasang.

Dalam perkembangan lain, walaupun Kundasang terus berkembang sebagai destinasi pelancongan utama, penduduk berpendapat manfaat ekonomi tidak dinikmati secara seimbang, dengan hanya sebahagian pengusaha mendapat kelebihan daripada pertambahan aktiviti pelancongan.

Seorang penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Mairin, 58, berkata komuniti kampung memerlukan pilihan pendapatan yang lebih luas kerana pertanian semata-mata tidak lagi mampu menarik minat generasi muda yang mencari kestabilan dan peluang lebih baik.

“Anak saya tujuh orang dan cucu sudah mencecah 13 orang, sukar bagi mereka bergantung sepenuhnya kepada hasil pertanian dalam keadaan ekonomi sekarang.

“Sebab itu saya menggalakkan mereka untuk mencari peluang kerja di luar jika mahu kehidupan yang lebih stabil, kerana isu di sini belum dapat ditangani sepenuhnya tanpa pimpinan yang benar-benar memberi tumpuan,” ujarnya.


Kundasang kini rancak dengan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang memasuki hari kedua, menyaksikan 10 calon mengemukakan pencalonan bagi kerusi N36 Kundasang di Dewan Masyarakat Ranau semalam, sekali gus menunjukkan persaingan lebih terbuka menjelang hari pengundian.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.