Calon dari Barisan Nasional (BN) dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) akan segera melaksanakan perancangan pernah dirangka oleh kerajaan BN sebelum ini untuk rakyat Sabah khususnya di Kundasang andai menang pada pilihan raya kali ini, kata Ketua Bahagian PBRS bagi DUN Paginatan, Datuk Dr Ewon Ebin.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kali ini, BN diwakili Japirin Sahadi di kerusi DUN Kundasang.
Beliau berkata selepas Japirin menang perancangan yang terdahulu sebelum boleh dilaksanakan dengan lancar.
"Seperti industri pelancongan, sudah lama kami rancang tentang apa yang harus dilakukan di Kundasang ini.
"Sekiranya dia (Japirin) menang di bahagian Kundasang ini, dengan pengalaman politik yang dia ada, maka dia boleh berhubung dengan pemimpin-pemimpin yang dapat membantu khususnya di peringkat negeri dan juga di peringkat persekutuan," katanya.
Tinjauan dalam kalangan pengundi di Sabah mendapati ada yang terkejut kerana ada pertandingan melibatkan banyak penjuru berlaku di beberapa kerusi DUN seperti politik Sabah sudah seoah-olah dirosakkan dengan sifat 'gila kuasa' dan bukan mahu membawa pembangunan.
Beliau menyifatkan calon dari BN benar-benar mahu melaksanakan kerja dengan ada hubungan dengan pemimpin di peringkat persekutuan kerana jalinan itu adalah amat penting.
Datuk Dr Ewon berkata jika seseorang pemimin rakyat tidak ada hubungan dengan pemimpin, proses pembangunan akan menjadi susah.
Katanya, jika dahulu ketika negeri ditadbir oleh parti BN banyak pembangunan dapat dilihat sudah dilaksanakan di kawasan Ranau dan Kundasang.
"Saya percaya jika dia (Japirin) diberi mandat dia juga akan berbuat demikian," ujarnya.
Calon BN Japirin mempunyai jejak rekod perkhidmatan yang amat lama dalam politik kerana pernah menjadi Setiausaha Politik untuk Dr Ewon selama 2 penggal ketika menjadi Menteri dalam kerajaan negeri Sabah dan kemudian ketika menjadi Menteri di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata kepimpinan PBRS memilih Japirin kerana beliau merupakan orang kelahiran Kundasang.
"Orang di Kundasang sudah lebih 20 tahun menantikan saat seperti ini untuk ada calon yang masih kuat untuk berkhidmat untuk mereka di kawasan DUN Kundasang," katanya.

Comments
Post a Comment