Berpuluh tahun masih gagal bantu rakyat, itu malang buat masyarakat













FAIZAH IZZANI ZAKARIA


KENINGAU - Wakil rakyat yang sudah berpuluh tahun memegang jawatan namun masih gagal menyelesaikan masalah merupakan pemimpin yang membawa malang kepada masyarakat.

Naib Presiden Parti Amanah Rakyat (Amanah), Datuk Seri Mahfuz Omar berkata, ini kerana wujud pemimpin di Sabah yang sudah memegang jawatan sehingga 30 tahun namun masih tidak mampu menyelesaikan masalah yang dekat di hati rakyat seperti isu tanah, air, jalan raya sempurna dan bekalan elektrik mencukupi.


"Saya tidak dapat nak bayangkan perkara ini masih berlaku apatah lagi di pedalaman Sabah. Berpuluh tahun masih tidak selesai masalah ini. Bagi saya pemimpin begini amat malang untuk masyarakat,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pertemuan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N45 Sook pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, Dato' Sri Arthur Joseph Kurup bersama penduduk Kampung Seri Menanti di Sook semalam.

Mahfuz yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) berkata, pemimpin muda seperti Arthur wajar diangkat menjadi wakil rakyat kerana sudah mempunyai rekod cemerlang walaupun baru dua penggal menjadi Ahli Parlimen.

"Beliau memmiliki rekod kerja yang sangat baik. Baru dua penggal jadi Ahli Parlimen sudah mampu menunaikan semua janjinya kepada rakyat di Sook.

"Saya nampak banyak lagi belum selesai di sini terutama isu tanah dan masalah berkait dengan kerajaan negeri. Sebab itu pentingnya anda semua mengundi beliau untuk angkat suara dia ke DUN agar semua masalah dapat diselesaikan di kawasan ini," katanya.

Mahfuz berkata, Arthur yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merupakan contoh pemimpin muda yang bekerja berdasarkan realiti semasa dan bukan pemimpin yang hanya pandai menabur janji kosong kepada rakyat.

"Ada orang dia bekerja dengan mulut. Berjanji itu ini tetapi 20 tahun keadaan jalan begini, saya tak boleh memikir ini.

"Maknanya tiap lima tahun baru dia datang tengok kawasan lepas itu tak datang-datang lagi. Maknanya penduduk di Sook ini tidak dihati dia. Inilah sebabnya jangan silap memilih supaya anda tidak menyusahkan hidup untuk lima tahun lagi," katanya.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.