KENINGAU - "Saya minta bantuan dari anda, bantuan ini tidak susah cuma 29 November ini bantu saya pangkah lambang saya ke dalam peti undi".
Demikian seruan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N45 Sook, Dato' Sri Arthur Joseph Kurup yang berharap penduduk di DUN itu bersatu hati membantu beliau mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Katanya, beliau sentiasa mengutamakan bantuan kepada penduduk Sook meliputi pelbagai aspek bantuan seperti pelajaran, kesihatan dan keperluan asas.
Menurutnya, semua bantuan itu dilaksanakan sepanjang masa dan bukan hanya pada waktu pilihan raya.
"Jadi ini kali saya minta bantuan anda. Bantuan ini tidak susah saya bukan minta belanja dari anda. Saya cuma minta supaya 29 November ini ambil kertas undi pangkah lambah saya masuk ke dalam peti.
"Ini kali saya minta bantu saya supaya saya boleh sambung kerja saya, sambung bantuan kepada semua," katanya ketika berucap pada lawatan ke Markas Barisan Nasional (BN) di Pusat Daerah Mengundi Kampung Ansip di sini hari ini.
Arthur yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berkata, dia berazam mahu meneruskan usaha membantu rakyat di DUN Sook yang begitu dahagakan pembangunan dalam pelbagai sektor terutama pendidikan, prasarana mencukupi selain peluang pekerjaan yang lebih luas.
Katanya, beliau mahu semua janji-janji yang diberikan kepada rakyat Sook ditunaikan sebaik diberi mandat pada PRN kali ini.
Dalam pada itu, Arthur menegaskan beliau langsung tidak gentar untuk menggariskan semua janji-janjinya pada PRN kali ini kerana rakyat boleh menilai pencapaiannya sebelum ini.
"Semua cerita bagus ini sudah ada dalam kad laporan saya. Sebab itu saya berani berjanji untuk rakyat Sook.
"Kad laporan ini macam kita hantar anak ke sekolah. Tentu kita mahu lihat kemajuan dan perkembangannya di sekolah. Sama juga saya, rakyat sudah undi jadi mereka mahu lihat hasil dari saya," katanya.

Comments
Post a Comment