Arthur bertanding DUN untuk selesai masalah tanah, air, elektrik


Rohana Man

KENINGAU : Tuduhan liar mengatakan Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup tamak kerana bertanding di DUN N.45 Sook membuktikan pihak lawan dengki dan tandus idea untuk menjatuhkan Arthur menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada 29 November ini.

Tuduhan liar itu timbul kerana Arthur merupakan Ahli Parlimen Pensiangan dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, tetapi mahu bertanding DUN.


“Dah ada dua jawatan penting, kenapa nak tanding DUN. Ini tamak namanya,” kata seorang penceramah parti lawan.

Menjawab tuduhan liar itu, Arthur yang ditemui di kediamannya dalam satu temubual eksklusif tenang menjawab isu yang sudah dijangkanya sejak hari penamaan calon.

Calon No. 4 itu menegaskan tujuan utama beliau menawarkan diri untuk bertanding PRN17 adalah kerana ingin menyelesaikan masalah yang hanya boleh diselesaikan Kerajaan Negeri.

Ini kerana Parlimen dan DUN adalah dua bidang kuasa berbeza dan beliau selaku Ahli Parlimen tidak boleh mencampuri urusan Kerajaan Negeri.

“Di peringkat Persekutuan, saya adalah wakil di Dewan Parlimen. Saya telah berusaha menyelesaikan masalah di bawah bidang kuasa Parlimen.

“Sebagai contoh, jalan-jalan besar yang menghubungkan mukim dan daerah, itu saya sudah usahakan.

“Buktinya adalah Jalan Pagalungan ke Pensiangan, saya sudah buat; Jalan Kampung Sinaron ke Tongod, saya sudah buat; Jalan Rancangan Belia Tiulon, saya sudah buat; Jalan Karamatoi, saya sedang buat.

“Itu adalah janji pilihan raya saya dan termasuk dalam bidang kuasa saya sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Arthur berkata, perkara yang sama juga berlaku dalam sektor pendidikan.

"Pendidikan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Itu pun, saya sudah buat," ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya, dalam tahun ini sahaja, beliau telah berjaya membina lima buah sekolah di seluruh kawasan Parlimen Pensiangan.

Arthur berkata, SK Ambual, SK Rancangan Belia Tiulon dan Pusat Tingkatan Enam SMK Nabawan sedang dalam pembinaan, manakala SMK Trusmadi hampir siap dan akan mula beroperasi pada tahun hadapan.

“Satu lagi janji pilihan raya yang sedang ditunaikan adalah pembinaan SMK Dalit. Ini semua, saya boleh buat, sebab ia di bawah bidang kuasa saya (Parlimen).

“Tetapi ada beberapa isu yang di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

"Antara yang paling besar adalah isu-isu berkaitan tanah. Tanah adalah di bawah Kerajaan Negeri,” tambahnya.

Menurutnya, beliau mendapati masih banyak masalah penduduk berkaitan isu tanah yang gagal diselesaikan wakil rakyat terdahulu di daerah Sook.

“Dalam hal ini, saya boleh bising…saya boleh masuk buat kenyataan di surat khabar, saya boleh masuk TV. Saya boleh buat surat rayuan tetapi susah untuk saya berurusan secara rasmi dan tidak boleh bawa usul ke DUN, sebab saya belum duduk dalam DUN.

“Sama juga dengan isu berkaitan air. Daerah Sook dan seluruh kawasan pedalaman Sabah menghadapi masalah air yang sangat besar. Ini pun di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

“Sekiranya saya diberi peluang untuk duduk dalam DUN, saya akan memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah yang di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, khususnya berkaitan tanah dan air.

“Sekiranya kamu sudah nampak kerja saya sebagai Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri selama empat tahun, kamu nampak kerja saya bagus…, ada hasil.

“Masalah jalan besar, saya sudah kasi selesai, pembinaan sekolah dan SMK, saya sudah selesai.

“Kali ini, bagilah saya peluang untuk berkhidmat dan menyelesaikan masalah yang terdapat di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri,” kata Arthur yang merayu agar pengundi memilihnya pada 29 November ini.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.