Arsad Bistari, Isu Perlombongan Pasir: Dakwaan RM70 Juta Cetus Tanda Tanya


sedang viral di medsoc sejak beberapa hari yang lalu

Nama calon GRS dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Mohd Arsad Bistari, kembali menjadi perhatian apabila masih wujud dakwaan mengenai aktiviti perlombongan pasir tidak berlesen di sekitar Kota Belud mula menular semula dalam kalangan pemain industri, penggiat media sosial dan komuniti setempat.

Walaupun Arsad sebelum ini tampil menafikan pembabitannya dalam kes penipuan kerja perlombongan di Sungai Kuala Abai, Kadamaian, tuduhan terbaharu yang dikaitkan dengannya jauh lebih besar sifatnya di mana ianya melibatkan nilai yang dilaporkan mencecah RM70 juta.

Lebih menghangatkan keadaan, terdapat dakwaan bahawa seorang lagi bekas ADUN GRS, iaitu Marsidi Manjun turut disebut-sebut oleh beberapa pihak sebagai individu yang mempunyai pengetahuan atau peranan dalam kelulusan serta operasi perlombongan tersebut. Setakat ini, tiada pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak berkuasa mengenai tuduhan ini, namun spekulasi semakin rancak.

Dalam kenyataan terdahulunya, Arsad menegaskan beliau tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penipuan atau salah laku, “Dakwaan yang dibuat adalah tidak berasas dan merupakan satu fitnah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Aru dan telah mendapatkan khidmat peguam bagi mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat dakwaan di media sosial.

Namun, sumber tempatan mendakwa terdapat aktiviti perlombongan pasir tidak berlesen di kawasan tersebut yang beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan isu itu dikatakan melibatkan jumlah hasil yang besar sehingga mencetuskan keresahan orang kampung, khususnya apabila kerja-kerja korekan mula menjejaskan alam sekitar dan sungai berhampiran.

Nilai RM70 juta yang dikaitkan dengan operasi ini disebut oleh beberapa pihak sebagai jumlah anggaran pasir yang dikeluarkan secara haram sepanjang tempoh aktiviti tersebut berjalan. Bagaimanapun, tanpa siasatan rasmi, angka ini kekal sebagai dakwaan yang belum disahkan.

Apa yang semakin dipersoalkan rakyat, siapa benefisiari sebenar operasi perlombongan itu, adakah permohonan dan kelulusan kerajaan negeri dipatuhi, mengapa nama-nama tertentu dalam arena politik daerah mula dikaitkan oleh pihak industry dan benarkah terdapat campur tangan atau perlindungan daripada individu berpengaruh?

Kaitannya dengan Marsidi Manjun pula timbul hasil beberapa kenyataan tidak rasmi daripada individu industri yang mendakwa terdapat “document trail” yang melibatkan kelulusan pantas dalam proses melibatkan tapak operasi. Namun, Marsidi belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas sehingga kini.

Dalam landskap politik Sabah yang sering dikaitkan dengan isu tanah, lombong mineral, dan eksploitasi sumber, tuduhan sebegini tidak boleh dipandang ringan. Biarpun semua pihak yang dinamakan menafikan penglibatan, ketelusan siasatan adalah satu-satunya jalan keluar.

Sekiranya dakwaan bernilai RM70 juta ini tidak benar, pihak berkuasa boleh menutup spekulasi melalui siasatan rasmi. Tetapi jika ada asas, maka ia membuka lembaran baharu skandal yang lebih besar daripada yang dijangka.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.