![]() |
| Kediaman warga Kundasang yang biasanya meriah dengan kibaran bendera parti, tetapi pada PRN kali ini senario itu tidak berlaku. |
Adakah angin perubahan sedang bertiup kencang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang?
Setiap kali menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), penduduk di Sabah termasuk yang berada di Kundasang, memiliki satu 'trend' memacak bendera parti yang mereka sokong di kediaman masing-masing.
Namun, pada PRN ke-17, trend itu tidak diteruskan oleh penduduk di DUN Kundasang.
Ketika mengikut lawatan kempen calon Barisan Nasional (BN), Japirin Sahadi dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di Kampung Kauluan, kelmarin, penulis sempat berbual dengan salah seorang penduduk di situ.
Perbualannya penuh isi, lebih-lebih lagi individu tersebut merupakan seorang pesara tentera yang pernah berkhidmat bersama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan pengetahuannya cukup luas.
Dalam banyak-banyak isu yang menjadi perbualan kami, topik bendera parti dikibarkan di kediaman penduduk mencuri perhatian penulis.
Kata beliau, 'trending' mengibarkan bendera parti di kediaman penduduk tidak berlaku pada PRN kali ini.
Lantas penulis bertanya, adakah amalan itu sebagai satu isyarat sokongan tuan rumah terhadap parti-parti politik tertentu yang bertanding?
Sambil membenarkan pertanyaan penulis, katanya lagi, senario tersebut bagaimanapun tidak berlaku pada PRN kali ini.
Kebetulan lokasi penulis berada adalah di satu kawasan tinggi dengan panorama kediaman-kediaman penduduk yang terbentang di hadapan mata penulis.
Memang benar tiada satupun bendera yang dikibarkan di rumah-rumah penduduk kampung tersebut, malah, senario sama turut berlaku di kampung-kampung yang sempat penulis kunjungi.
Menyaksikan 'trending' baharu yang sedang berlaku di DUN Kundasang, terbetik dalam fikiran penulis, adakah warga Kundasang masih belum memutuskan siapakah calon wakil rakyat yang mereka sokong sedangkan hari mengundi hanya tinggal beberapa hari lagi.
Membiarkan sahaja bendera parti-parti politik dikibarkan di sepanjang laluan kampung, adakah warga Kundasang bersedia menerima perubahan selepas lima penggal lamanya memilih wakil rakyat yang sama?
Jika benar, selepas 25 tahun, akhirnya warga Kundasang mula membuka mata dan mahukan 'orang baharu' menjadi wakil suara mereka.
Perubahan yang dimahukan penduduk mungkin disebabkan rasa kurang puas hati terhadap pembangunan di Kundasang khususnya kemudahan infrastruktur yang masih berada di takuk lama.

Comments
Post a Comment