Tujuan asalnya jelas iaitu membina pelajar yang bukan sahaja cemerlang di bilik kuliah tetapi juga mampu mengaplikasikan ilmu untuk menyelesaikan masalah sebenar komuniti.
Namun, apa yang sepatutnya menjadi wadah pendidikan kini menimbulkan persoalan besar apabila program SULAM di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dikatakan berkolaborasi dengan entiti yang berakar umbi kepada parti politik PAS iaitu Tadika PASTI?
Lebih mengundang curiga, projek ini hanya melibatkan 16 mahasiswi dari Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan UMS, bukan pelajar pelbagai fakulti seperti kelaziman projek SULAM yang bersifat terbuka dan inklusif.
Persoalannya, kenapa Tadika PASTI?
Jika benar apa yang dipaparkan di portal milik 'Sabah Media' itu adalah Tadika PASTI, apakah tiada lagi institusi pra-sekolah lain di Sabah yang boleh dijadikan lokasi pembelajaran komuniti? Atau wujud “tangan ghaib” yang mengatur supaya pelajar universiti awam ini digerakkan ke institusi yang sinonim dengan parti politik tertentu?
Malah jika benar projek SULAM itu dilaksanakan dengan tadika PASTI maka ianya akan terkait dengan nama Aliakbar Gulasan.
Beliau bukan sekadar Pesuruhjaya PAS Sabah, Ahli Majlis Tertinggi MUIS tetapi juga masih disenaraikan sebagai pensyarah di UMS menurut maklumat yang diperoleh daripada laman sesawang peribadinya. Tambahan pula beliau juga disebut-sebut sebagai calon PAS bagi DUN Karambunai.
Timbul juga tanda tanya, apakah pelibatan mahasiswi ini benar-benar atas dasar akademik atau dijadikan “alasan ilmiah” untuk proses perkaderan politik?
Jika benar dakwaan ini, ia merupakan salah guna kepercayaan akademik yang amat serius. Program SULAM berada di bawah kelulusan dan pemantauan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan ianya bukan gelanggang politik. Mengheret pelajar universiti awam ke dalam agenda kepartian, walau atas nama “projek komuniti” adalah bentuk manipulasi intelektual yang tidak boleh dibiarkan.
UMS dan KPT perlu tampil memberi penjelasan segera.
Rakyat berhak tahu sama ada projek ini benar-benar dijalankan atas landasan akademik atau dijadikan platform halus untuk menanam ideologi politik kepada pelajar muda. SULAM bukan medan “doktrin politikus akademik” untuk menggunakan universiti sebagai pusat latihan kader parti.
Sabah pernah menyaksikan bagaimana institusi agama dan pendidikan menjadi medan pengaruh politik yang menebal. Kini, jika universiti awam turut menjadi mangsa percaturan sedemikian maka ia menandakan garisan pemisah antara pendidikan dan propaganda semakin kabur.
Jangan biarkan universiti dijadikan markas politikus bertopengkan akademik dan jangan biarkan pelajar dijadikan alat ketika mereka sepatutnya menjadi insan yang bukannya tunduk kepada agenda tersembunyi.
Malaysia Hot mendapati hantaran mengenai aktiviti "SULAM" telah diturunkan (klik di SINI), mungkin mereka telah kantoi?


Comments
Post a Comment