Akhirnya selepas beberapa minggu desakan pelbagai pihak agar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bertindak tegas terhadap penyalahgunaan tauliah khutbah oleh individu yang aktif berpolitik menjadi kenyataan.
Semalam, kelibat Pesuruhjaya PAS Sabah, Aliakbar Gulasan mencuri perhatian ramai apabila beliau dilihat menunaikan solat Jumaat tanpa lagi menaiki mimbar seperti kebiasaannya. Pemandangan itu mengesahkan bahawa JHEAINS kini mula menegakkan peraturan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang dengan jelas melarang mana-mana individu aktif politik menggunakan mimbar Jumaat sebagai medan pengaruh parti.
Tambahan pula Aliakbar Gulasan bukanlah berlatar belakang pendidikan agama dari segi akademiknya.
Menurut sumber dalaman, arahan lisan telah disampaikan kepada semua pentadbir masjid agar memastikan hanya individu berstatus bebas politik dan mempunyai tauliah sah sahaja dibenarkan membaca khutbah. Peraturan yang selama ini seolah-olah diabaikan kini kembali dikuatkuasakan setelah timbul tekanan awam dan pertikaian mengenai tauliah khas yang kononnya diberikan kepada pemimpin politik tertentu.
Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik dan Pesuruhjaya PAS Sabah, sebelum ini sering menjadikan mimbar Jumaat sebagai pentas “nasihat politik” tersirat, sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan jemaah yang menganggap khutbah seharusnya bersifat neutral, mendidik dan menyatukan umat, bukan medan sindiran terhadap lawan politik.
Langkah JHEAINS ini dilihat sebagai isyarat awal pembetulan semula integriti institusi agama negeri bahawa masjid bukan tempat untuk kempen tetapi tempat untuk menyucikan hati.
Tindakan ini turut menepis persepsi bahawa pihak berkuasa agama negeri tunduk kepada tekanan politik parti tertentu. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa JHEAINS berani memulihkan kewibawaan institusi agama dengan berpaksikan undang-undang dan garis panduan Majlis Ugama Islam Sabah yang termaktub sekian lama.
Ternyata, semalam mimbar Jumaat di Sabah kembali menjadi tempat suci, bukan pentas politikdan langkah ini walau kecil namun menandakan permulaan kepada pembaharuan besar dalam memisahkan politik ketaksuban daripada agama di negeri di bawah bayu.

Comments
Post a Comment