Adun Kundasang perlu turun sendiri jumpa rakyat

ELSIE MAIKOL

Sesiapa sahaja yang menjadi wakil rakyat (Ahli Dewan Undangan Negeri) atau Ketua Menteri perlu turun ke akar umbi, jangan sekadar hantar wakil menjenguk keadaan rakyat yang hidup serba daif

Seorang anak tempatan Kampung Tarawas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, Elsie Maikol, 25, berkata, sebagai wakil rakyat, mereka perlu jalankan tugas, turun sendiri ke kawasan masing-masing dan ambil tahu kehidupan penduduk kampung.

“Jadi kalau boleh, kalau nanti, kalau siapa yang dilantik menjadi wakil rakyat dan Ketua Menteri Sabah begitulah buat apa yang perlu, turun sendirilah.

“Turun tengok (sendiri), jangan suruh orang bawahan dia. Sebab orang bawahan dia akan suruh orang yang di berada di bawah lagi buat kerja.

“Selepas itu, duit (bantuan kepada rakyat) dapat kepada orang bawahan dia (kerana) orang bawahan itu tidak akan jalankan tugas,” katanya ketika ditemui sewaktu calon DUN Kundasang, Japirin Sahadi mengadakan lawatan ke kampung berkenaan, semalam.

Bekalan elektrik di Kampung Tarawas yang sering terputus, menjadi beban kepada penduduk di situ.

Menurut pereka grafik itu, sesiapa sahaja yang bakal dilantik menjadi wakil rakyat, jika berhajat datang ke Kampung Tarawas, ikut jalan kampung kerana dengan cara tersebut seseorang pemimpin itu akan lebih mengetahui kesusahan penduduk.

Jelas Elsie, jurang pembangunan antara di bandar dan di desa terlalu jauh, jika, di Kota Kinabalu semuanya serba cantik, tetapi, malangnya bagi warga di Tarawas mereka hidup daam serba kekurangan.

“Kalau pasal talian telefon, baru sahaja beberapa bulan yang lalu kami penduduk di sini menerima perkhidmatan itu.

“Lagi satu, kami banyak mati karan (putus bekalan elektrik). Contohlah, satu hari itu boleh dikatakan tiga, empat kali mati karan. Kemudian, kalau mati karan, kalau satu minit tidak apa, ini dua, tiga jam mati karan,” ujarnya.

Keadaan rumah penduduk Kampung Tarawas yang serba kekurangan.

Elsie yang merupakan lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Samarahan, Sarawak memberitahu, salah satu keburukan apabila bekalan eletrik kerap terputus, barangan elektronik seperti peti ais akan mudah rosak.

“Bila banyak kali mati karan, peti sejuk, contoh rumah kamilah, banyak sudah rosak, begitu juga televisyen, piring Astro Njoy, banyak kali rosak, semuanya gara-gara elektrik kerap terputus,“ katanya.

Selain itu, tambah Elsie, bekalan air bersih yang tidak stabil dan jalan raya untuk laluan ke kebun juga menjadi masalah buat penduduk Kampung Tarawas.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.