Adik ADUN Membakut Dedahkan Salah Guna Duit Zakat Sabah: Kerajaan GRS Tutup Mata?


Isu panas berkait dana zakat Sabah kembali menghantui Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan kerajaan negeri apabila dakwaan serius berhubung salah guna dana zakat sebanyak RM14.4 juta didedahkan oleh Adnan Arif, Timbalan Setiausaha MUIS yang juga adik kepada ADUN Membakut.

Lebih mengejutkan, pendedahan ini bukan dibuat oleh pihak luar tetapi datang daripada pegawai dalam MUIS sendiri menandakan betapa serius pelanggaran tatakelola dalam pengurusan institusi agama tertinggi negeri itu yang boleh berakhir kepada kes jenayah merompak wang zakat.


Presiden PRESBAH dalam kenyataan tegasnya menggesa MUIS memberi penjelasan terbuka kepada pembayar zakat di Sabah berhubung dakwaan pemindahan dana zakat tersebut tanpa pengetahuan Majlis Tertinggi MUIS (MTM) dan Jawatankuasa Zakat dan Fitrah Negeri Sabah iaitu badan yang menurut enakmen sepatutnya meluluskan sebarang keputusan berkaitan dana zakat.

“Bila dana zakat milik umat Islam digunakan tanpa prosedur sah, ia bukan isu kecil. Ia menyentuh maruah, kepercayaan, dan integriti pengurusan dana ummah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sejak isu ini tular, PRESBAH telah menggesa agar SPRM menyiasat dengan adil. Jika benar ada pelanggaran, tindakan tegas mesti diambil. Jika tidak, biarlah diselesaikan segera agar maruah institusi Islam itu tidak terus tercalar.

Apa yang menimbulkan kehairanan ramai menurut sumber dalaman, MUIS mengambil langkah menyaman kakitangannya sendiri, iaitu Adnan Arif adalah sesuatu yang sangat jarang berlaku.

“Kalau benar beliau bersalah, kenapa tidak digantung tugas atau dipecat melalui saluran tatatertib? Kenapa perlu saman?” soalnya.

Beliau mempersoalkan juga, berapa banyak dana MUIS kini dibazirkan untuk kos guaman hanya semata-mata mahu menutup isu ini? Lebih parah, difahamkan kes masih belum bermula di mahkamah dan tiada sebarang penyelesaian dicapai.

Menurut maklumat yang tersebar, pemindahan dana RM14.4 juta itu dikatakan berlaku tanpa kelulusan rasmi dari Jawatankuasa Zakat dan Fitrah Negeri Sabah yang sepatutnya dipengerusikan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah sendiri.

Jika benar perkara ini berlaku maka tersangat jelas bahawa terdapat pelanggaran prosedur dan etika pentadbiran zakat sekali gus mencemar kepercayaan umat Islam terhadap pengurusan zakat di bawah MUIS.

Lebih mengejutkan ada desas-desus mengatakan MTM telah bersetuju untuk memulangkan dana tersebut namun tindakan itu tertangguh kerana bimbang bercanggah dengan kes mahkamah antara MUIS dan Adnan Arif.

Selain isu dana zakat, MUIS turut dikritik kerana caranya mengurus pemberian tauliah mengajar agama dan membaca khutbah Jumaat.

Ramai ustaz, imam dan penceramah tempatan mendakwa proses pemberian tauliah bersifat berat sebelah dan berbau politik sehinggakan ada yang tidak dibenarkan mengajar hanya kerana tidak sehaluan dengan pihak tertentu.

Kritikan ini menambahkan persepsi bahawa MUIS kini tidak lagi menjadi payung agama yang adil dan telus, sebaliknya lebih berperanan sebagai alat kawalan pengaruh politik agama di Sabah.

Apakah Kerajaan GRS akan terus menutup mata terhadap dakwaan salah guna dana zakat ini?

Apakah Mufti Kerajaan Negeri Sabah, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Zakat dan Fitrah, akan tampil menjelaskan kedudukan sebenar dana RM14.4 juta itu?

Dan sampai bila MUIS akan terus menjadi simbol krisis kepercayaan umat Islam Sabah dari pengurusan zakat hingga ke urusan tauliah agama?

Umat Islam menunggu jawapan. Jangan biarkan amanah dana ummah menjadi bahan politik dan perebutan kuasa.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.