Ucapan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan di Parlimen semalam bukan sekadar provokasi tetapi membuka ruang baharu kepada politik kebencian dan fanatik agama yang berpotensi menular ke Sabah menjelang PRN akan datang.
Ketika membangkitkan isu latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Masjid Rusila, Takiyuddin menggunakan ayat berbahaya “saya akan tembak... I will open fire” sambil mengaitkan dengan Tragedi Memali 1985, satu insiden berdarah antara pengikut fanatik PAS dan pihak berkuasa.
Ucapan itu disusuli dengan naratif seolah-olah Presiden PAS, Hadi Awang, dizalimi?
Namun, hakikatnya pihak masjid sendiri tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa anggota APMM hanya singgah untuk solat, bukan menceroboh.
Takiyuddin turut mendakwa anggota APMM membawa senjata dan menceroboh masjid tersebut dengan memakai ‘boot’.
Lebih menimbulkan keraguan, kenapa isu yang berlaku pada September lalu tiba-tiba diangkat di Parlimen sekarang? Adakah ini langkah awal untuk meniup api sentimen menjelang PRN Sabah?
Penganalisis melihat kenyataan itu sebagai isyarat politik berbahaya yang cuba menghidupkan kembali naratif “kami dizalimi” bagi membina simpati dan menguji sejauh mana rakyat boleh dipengaruhi dengan retorik ekstrem. Inilah yang disebut sebagai “balloon test”, jika tiada penolakan keras, mereka akan menaikkan lagi suhu provokasi menjelang pilihan raya.
Tragedi Memali mengorbankan 18 nyawa termasuk empat anggota polis akibat fahaman takfiri dan keganasan atas nama agama.
Kini apabila Takiyuddin kembali menggunakan tragedi itu sebagai bahan pembahasan di parlimen, ia mampu menggambarkan normalisasi ekstremisme dan percubaan untuk menanam persepsi bahawa kekerasan adalah sebahagian daripada perjuangan politik Islam?
Lebih membimbangkan, Sabah pernah menyaksikan pencerobohan Lahad Datu (2013), tragedi yang tidak boleh diungkit dengan nada provokatif. Apabila seorang pemimpin PAS mula mengaitkan simbol keganasan (tembakan, bawa senjata, menceroboh) dalam konteks politik, ia menyerupai taktik “Gestapo-style politics” iaitu menyemai ketakutan bagi menundukkan rakyat melalui ugutan psikologi.
Sabah tidak boleh menjadi mangsa eksperimen politik PAS. Negeri ini harmoni kerana kepelbagaian dan tolak ansur antara etnik dan agama. Retorik seperti Takiyuddin mengancam kestabilan ini dan membuka ruang kepada politik perpecahan.
Rakyat Sabah perlu berwaspada. Ini bukan sekadar ucapan tetapi ini umpama isyarat awal kepada politik ugutan, kebencian dan manipulasi sejarah. Jangan biarkan ekstremisme berakar di bumi yang selama ini menjadi contoh keharmonian Malaysia.


Comments
Post a Comment