Sebuah syarikat penyelesaian IT yang dikaitkan dengan firma yang dipengerusikan oleh pemimpin PKR yang kontroversial dan kini bergelar ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador, telah memperoleh kontrak kerajaan bernilai RM732.72 juta untuk membekalkan MyKad kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kontrak yang diberikan kepada NexG Berhad (dahulu dikenali sebagai Datasonic Group Berhad) ini dianugerahkan hanya enam bulan selepas Farhash menjadi pemegang saham terbesar MMAG Holdings Bhd.
Pada 26 Mac, Farhash yang juga merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim membeli 462 juta saham dalam MMAG Holdings dengan nilai RM184.8 juta, menurut pemfailan kepada Bursa Malaysia.
Portal kewangan The Edge melaporkan bahawa walaupun harga pembelian tidak didedahkan, laporan Bloomberg menunjukkan bahawa 462 juta saham tersebut diperdagangkan di luar pasaran (off-market) pada 26 Mac dalam empat transaksi pada harga 40 sen sesaham, iaitu diskaun 65% daripada harga penutupan MMAG sebanyak 66 sen pada hari yang sama.
Berikutan transaksi itu, Farhash kini memiliki 20% pegangan dalam MMAG Holdings.
Keesokan harinya, NexG Bhd muncul sebagai pemegang saham utama MMAG Holdings dengan pegangan 9.53%, meningkat daripada 1.95% hanya tiga minggu sebelumnya.
Dalam pemfailan kepada Bursa pada masa itu, NexG menyatakan bahawa syarikat tersebut bersedia untuk memperluaskan bidang perniagaan, termasuk menyediakan “penyelesaian keselamatan dan pengenalan diri menyeluruh dengan sokongan logistik bersepadu” dengan memanfaatkan perkhidmatan logistik, pergudangan dan penerbangan milik MMAG.
Sebagai pemegang saham terbesar, Farhash kemudian dilantik sebagai Pengerusi MMAG Holdings, menggantikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang pada masa sama menjadi pemegang saham besar dalam NexG dengan pegangan 6.1%.
Kontrak kepada NexG ini diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bertempoh enam tahun, dari 1 Jun 2026 hingga 31 Mei 2032.
Sebelum ini, KDN juga telah memberikan kontrak bernilai RM1.73 bilion kepada NexG untuk membekalkan pasport Malaysia selama enam tahun.
Kad pengenalan yang akan dibekalkan kepada JPN termasuk MyKad, MyTentera, dan MyPoca, iaitu kad khas yang dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).
Menurut NexG, kontrak terbarunya ini adalah untuk menyediakan “MyKad generasi baharu yang dinaik taraf”, yang dikatakan akan membantu rakyat Malaysia menerima subsidi bahan api dan lain-lain bantuan kerajaan.

Comments
Post a Comment