Krisis dalam Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kini semakin parah apabila Presidennya, Datuk Jeffrey Kitingan mengesahkan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kanan parti itu meletakkan jawatan dan berpaling tadah menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Langkah ini menandakan satu tamparan hebat buat Kitingan yang kini berdepan realiti kehilangan hampir separuh tonggak kepimpinannya hanya beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Kitingan dalam satu kenyataan ringkas di laman Facebook mengesahkan keputusan Majlis Tertinggi STAR menerima peletakan jawatan kelima-lima wakil rakyat berkenaan, menjadikan mereka “secara automatik tiada lagi keahlian dalam STAR.”
Lima individu terbabit bukan calang-calang, dua daripadanya ialah timbalan presiden parti, Datuk Ellron Angin (ADUN Sook) dan Datuk Robert Tawik (ADUN Bingkor), manakala tiga lagi ialah Abidin Madingkir (Paginatan), Annuar Ayub (Liawan) dan Flovia Ng (Tulid).
Difahamkan, kesemua mereka kini bernaung di bawah kem Hajiji Noor, Ketua Menteri sementara Sabah, selepas mengisytiharkan sokongan terbuka kepada GRS. Langkah ini dilihat sebagai isyarat bahawa mereka tidak lagi yakin dengan hala tuju politik Jeffrey Kitingan, terutama selepas STAR dipecat secara automatik daripada GRS kerana memilih bertanding atas logo sendiri.
Walaupun Kitingan cuba meredakan keadaan dengan menyifatkan tindakan mereka sebagai “bukan sesuatu yang baru”, penganalisis melihat krisis ini sebagai tanda kemerosotan pengaruh politik beliau di Sabah. STAR kini dilihat kehilangan bukan sahaja barisan kepimpinan kanan, malah kekuatan akar umbi di beberapa kawasan penting.
Persoalannya kini, mampukah Kitingan mengemudi STAR tanpa nama-nama besar ini, atau adakah parti itu bakal menjadi sejarah menjelang PRN akan datang?
Bagi lima bekas pemimpin STAR tersebut, langkah berpihak kepada GRS mungkin membuka laluan lebih mudah untuk kekal relevan dalam arus politik negeri, namun bagi Jeffrey Kitingan, ini adalah isyarat jelas bahawa kuasanya semakin menipis.

Comments
Post a Comment