Kenyataan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee yang mendesak Sabah mengambil alih kes berkaitan Akta Laut Wilayah 2012 (Territorial Sea Act 2012) hanyalah retorik politik basi yang cuba menunggang isu lama untuk kelihatan relevan di mata rakyat.
Realitinya, persoalan utama bukanlah sama ada Sabah mesti ambil alih kes itu tetapi kenapa SAPP tidak berbuat apa-apa sewaktu mereka
berada dalam kerajaan negeri dahulu, sama ada semasa era Barisan Nasional
atau ketika bersama GRS.
Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) telah diluluskan oleh
Parlimen pada tahun 2012, yang menetapkan sempadan laut negeri hanya tiga
batu nautika dari pesisir pantai. Ia sekaligus mengehadkan bidang kuasa
Sabah dan Sarawak terhadap hasil laut dan sumber minyak-gas di luar had
tersebut, satu kehilangan kuasa besar yang memberi kesan langsung kepada
kedaulatan dan hasil negeri.
Namun persoalannya, di mana suara SAPP ketika itu?
Mengapa tiada satu pun usul, bantahan rasmi, atau langkah undang-undang dibawa
oleh pemimpin SAPP ketika mereka masih mempunyai saluran dan kuasa untuk
berbuat demikian?
Lebih ironik, Datuk Yong Teck Lee pernah menjadi Ketua
Menteri Sabah pada tahun 1996–1998, dan selepas itu turut berada dalam
kerajaan gabungan yang rapat dengan Putrajaya. Jika benar beliau begitu
prihatin terhadap hak Sabah, sudah tentu isu seperti Akta Laut Wilayah ini
boleh diketengahkan lebih awal, bukan hanya selepas keluar daripada kerajaan
dan menjelang PRN akan datang.
Hari ini, kenyataan SAPP hanya berbunyi seperti retorik
kitar semula untuk mencari publisiti politik murahan. SAPP cuba menjadi
“juara hak Sabah” selepas gagal menjadi pemain utama politik negeri selama
lebih sedekad.
Fakta yang perlu rakyat tahu:
- Akta Laut Wilayah 2012 diluluskan tanpa tentangan aktif dari mana-mana wakil Sabah yang ketika itu berada dalam kerajaan persekutuan.
- Tiada
tindakan undang-undang atau inisiatif pembetulan dibawa oleh SAPP
sepanjang mereka sebahagian daripada kerajaan negeri.
- Langkah
memperjuangkan semula hak maritim kini sudah diambil oleh kerajaan Sabah
melalui perbincangan rasmi dengan Kerajaan Persekutuan, termasuk di bawah
semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Justeru, SAPP tidak wajar bersandiwara seolah-olah merekalah
penyelamat kedaulatan laut Sabah. Kenyataan seperti itu bukan sahaja tidak
membantu, malah mengaburi rakyat daripada realiti bahawa parti itu gagal
memperjuangkan isu ini ketika mereka ada kuasa sebenar.
Kini, jika SAPP benar-benar ikhlas, sertai usaha kerajaan
negeri yang sedang berunding secara rasmi mengenai MA63 dan sempadan maritim,
bukan sekadar menyalak di luar pagar untuk kepentingan politik.
SAPP tidak layak mendakwa diri mereka sebagai pejuang hak Sabah dalam isu Akta
Laut Wilayah 2012. Mereka hanya menumpang gelombang semasa untuk meraih
perhatian, sedangkan sejarah membuktikan diam mereka lebih kuat daripada
perjuangan mereka.

Comments
Post a Comment