Kewajaran Datuk Seri Hajiji Noor kekal sebagai caretaker Chief Minister kini menjadi persoalan besar di Sabah bukan sekadar isu politik, tetapi soal integriti dan moral pentadbiran.
Dalam keadaan skandal lombong mineral terus mencemarkan imej kerajaan negeri, semakin ramai berpendapat sudah tiba masanya Hajiji berundur sementara dan memberi laluan kepada tokoh neutral mentadbir Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri, Hajiji kekal mengetuai kerajaan sementara di bawah gabungan GRS. Namun, kedudukan beliau kini tidak lagi bebas daripada pertikaian awam, apabila beberapa laporan media mengaitkan pentadbiran negeri dengan isu pemberian lesen lombong, projek eksplorasi mineral, dan dakwaan penyalahgunaan kuasa melibatkan individu terdekat dengan struktur kerajaan negeri. Walaupun Hajiji belum dituduh secara rasmi, persepsi konflik kepentingan kian menebal dan itulah yang paling merosakkan kredibiliti kerajaan sementara.
Pemerhati politik menegaskan bahawa pilihan raya negeri yang bakal diadakan nanti mungkin akan dicemari persepsi bahawa kerajaan sementara mempunyai kelebihan tidak adil. “Apabila pemimpin yang disiasat kekal mentadbir, proses demokrasi dilihat pincang, bukan kerana bukti sabit, tetapi kerana persepsi kuasa masih digunakan untuk melindungi diri dan sekutu,” kata seorang penganalisis bebas yang dihubungi Malaysia Hot.
Caretaker Bukan “Perisai Kuasa”
Mengikut konvensyen caretaker government, seseorang pemimpin hanya diamanahkan untuk menjaga pentadbiran asas negeri bukan membuat keputusan besar atau terus mempengaruhi struktur pentadbiran bagi kepentingan politik.
Dalam situasi Sabah, mengekalkan Hajiji sebagai Ketua Menteri sementara memberi isyarat salah kepada rakyat bahawa kuasa politik masih digunakan sebagai benteng perlindungan, bukan amanah sementara.
Penganalisis politik tempatan menegaskan, “Caretaker bukan perisai kuasa, ia tanggungjawab moral menjaga keadilan semasa mandat rakyat digantung.”
Apabila isu rasuah, projek lombong dan campur tangan pentadbiran muncul, kehadiran Hajiji dalam kerusi caretaker hanya mengundang pertikaian baharu terhadap ketelusan siasatan SPRM dan kebebasan penjawat awam negeri.
Siapa Patut Ambil Alih Sementara?
Dalam konteks undang-undang Sabah, Yang di-Pertua Negeri (TYT) mempunyai kuasa penuh untuk melantik tokoh sementara menggantikan Ketua Menteri yang berisiko menjejaskan persepsi integriti.
Beberapa nama disebut dalam kalangan pemerhati politik Sabah sebagai calon neutral dan berkelayakan:
1. Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN)
Kedudukan jawatan yang tidak berpihak kepada mana-mana parti. Pelantikan beliau akan menstabilkan pentadbiran negeri tanpa gangguan politik.
2. Bekas pegawai tinggi kerajaan atau tokoh kehakiman negeri
Misalnya, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak atau bekas TYT yang boleh dilantik secara khas mengetuai pentadbiran sementara langkah luar kotak, tapi berintegriti tinggi.
3. Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN Sabah)
Kelebihan: Berpengalaman sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Ahli Parlimen lama; BN bukan sebahagian blok dominan GRS selepas perpecahan.
Pilihan simbolik untuk kestabilan dan moral governance.
Sabah memerlukan pentadbiran sementara yang bersih untuk memastikan PRN berlangsung tanpa campur tangan politik.
Sekiranya Hajiji benar mahu mempertahankan imejnya sebagai pemimpin berintegriti, beliau harus mengambil langkah berani dengan melepaskan sementara jawatan Ketua Menteri caretaker dan memberi ruang kepada tokoh neutral mentadbir sehingga mandat baharu rakyat diperoleh.

Comments
Post a Comment