“BN tidak pernah tewas, tapi dikhianati,” kata Datuk Seri Bung Moktar Radin, satu kenyataan yang menggambarkan realiti politik Sabah sejak kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada 2018. Kata-kata ini bukan retorik tetapi cerminan pengkhianatan politik yang telah mengheret Sabah ke kancah ketidakstabilan, kelemahan ekonomi dan ketidaktentuan arah selama hampir sedekad.
Selepas BN tumbang, kerajaan-kerajaan yang muncul selepasnya, Warisan dan kemudiannya GRS bukanlah lahir daripada mandat tulen rakyat, tetapi hasil “permainan bilik kotor” politik yang berasaskan sogokan, tawaran kuasa dan pengkhianatan.
Kerajaan Warisan yang dipimpin Shafie Apdal muncul bukan melalui kemenangan mandat asli rakyat tetapi melalui amalan “lompat parti” yang melacurkan kepercayaan rakyat. Wang, janji dan kedudukan dijadikan senjata politik untuk membentuk kerajaan yang akhirnya runtuh dengan cara yang sama iaitu pengkhianatan.
Selepas Warisan tumbang, GRS pula lahir bukan dari suara rakyat tetapi hasil penipuan yang mementingkan kedudukan daripada rakyat.
Sejarah membuktikan bahawa BN adalah parti yang meletakkan asas kemajuan Sabah dari projek jalan Pan Borneo, bekalan elektrik luar bandar, hingga ke penubuhan institusi-institusi penting negeri seperti hospital baharu, sekolah dan seumpamanya.
Namun selepas 2018, politik peribadi dan kerakusan kuasa mengatasi semangat perjuangan sebenar. UMNO BN bukan tewas kerana ditolak rakyat tetapi kerana dikhianati oleh pemimpin yang tamak, yang melihat kuasa lebih bernilai daripada amanah.
Kini rakyat Sabah sudah matang, mereka sudah melihat sendiri bagaimana pengkhianatan melahirkan kerajaan pincang dan bagaimana keikhlasan BN membuahkan pembangunan yang nyata.
Sabah memerlukan kestabilan politik dan bukan kerajaan yang lahir dari komplot dan sogokan, tetapi kerajaan yang berpaksikan mandat rakyat dan dasar pembangunan sebenar.
Dan apabila Bung Moktar berkata “BN tidak pernah tewas, tapi dikhianati,” itu bukan sekadar kata-kata tetapi ia adalah peringatan bahawa pengkhianatan boleh menjatuhkan kerajaan tetapi tidak akan mampu menjatuhkan perjuangan.
BN bukan pengkhianat rakyat, BN adalah mangsa pengkhianatan dan kini masa untuk bangkit bagi membetulkan sejarah.

Comments
Post a Comment