Rumah Mesra Sabah Maju Jaya: Hajiji Salah Guna Kuasa


Bukan sekadar rasuah duit tetapi rasuah kuasa dan penyalahgunaan mandat rakyat kini menjadi wajah sebenar kerajaan pimpinan Hajiji Noor dan GRS. Segala-galanya dilakukan demi satu tujuan, mengekalkan kuasa pada PRN Sabah yang bakal tiba.

Menggunakan duit rakyat sebagai alat politik dan menyeleweng peruntukan kerajaan Persekutuan adalah pengkhianatan terhadap amanah.

Apa yang sepatutnya menjadi projek kesejahteraan rakyat, kini bertukar menjadi alat kempen parti.

Program Rumah Mesra SMJ adalah inisiatif rasmi di bawah “Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2021–2025”, dengan dana khas RM125.6 juta disalurkan oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri Sabah.

Tujuannya jelas iaitu membantu rakyat berpendapatan rendah (B40) memiliki rumah selesa, mampu milik dan selamat.

Antara matlamat asal program ini:

1.  Meningkatkan taraf hidup rakyat miskin & B40 — menyediakan kediaman berkualiti bagi yang tidak mampu membeli rumah sendiri.

2.    Mengurangkan beban kewangan rakyat luar bandar — rumah dibina dengan kos subsidi melalui dana awam.

3. Membangunkan kawasan pedalaman — menutup jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

4.  Menjana peluang kerja tempatan — melibatkan kontraktor dan tenaga kerja Sabah.

5.    Menyokong dasar sosial negeri — memastikan kesejahteraan rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Kini, niat asal yang suci itu dipermainkan demi kepentingan politik.
Hajiji tanpa segan silu mengumumkan bahawa bantuan rumah SMJ itu dikhaskan untuk golongan belia yang baru berkahwin dan asalkan mereka ahli parti GRS.

Apakah ini bentuk baru rasuah politik berselindung di sebalik program rakyat?

Sedangkan dana tersebut datang daripada kerajaan Madani di bawah Kerajaan Persekutuan, bukan dari poket parti GRS. Peruntukan itu sepatutnya untuk semua rakyat Sabah tanpa mengira parti, bangsa atau agama.

Sebelum ini, rakyat Sabah masih belum lupa skandal rakaman video dan tangkap layar WhatsApp yang mendedahkan urusan rasuah melibatkan pemimpin utama GRS.

Kini satu lagi episod memalukan terbongkar, RM120 juta dana rakyat ‘tukar milik’ jadi modal politik parti.

Inikah wajah sebenar “Sabah Maju Jaya”?

Atau sebenarnya “Sabah Maju Kuasa”, di mana setiap sen rakyat dijadikan bahan sogokan untuk mengekalkan pengaruh?

Rakyat Sabah wajar bertanya:
Berapa banyak lagi program rakyat yang akan dijadikan alat politik?
Berapa lama lagi rakyat Sabah perlu menanggung pemimpin yang menjadikan amanah sebagai permainan kuasa?

Rakyat Sabah, sampai bila mau diam bah?
Kalau rumah pun boleh dipolitikkan, esok entah apa lagi yang mereka sanggup gadaikan demi kuasa.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.