RM10 Juta Untuk Kuburkan STAR: TYT, PMX, Hajiji Didakwa Rancang Serangan Politik Besar-Besaran?


Sumber dalaman politik negeri mendakwa satu gerakan besar sedang dirancang oleh tiga kuasa utama, TYT Sabah, Perdana Menteri dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dengan dana dikatakan mencecah RM10 juta bagi tujuan menghapuskan Parti STAR dan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dari landskap politik Sabah.

Menurut sumber rapat, dua bekas wakil rakyat iaitu Datuk Anuar Ayub (bekas ADUN Liawan) dan Datuk Ellron Angin (bekas ADUN Sook) dilaporkan menjadi orang perantara utama bagi pihak TYT dan Hajiji untuk menjalankan misi ini.

Gerakan ini dikatakan menyasarkan ketua-ketua bahagian Parti STAR di seluruh Sabah di mana setiap pemimpin di bahagian ditawarkan antara RM300 ribu hingga RM500 ribu dengan syarat meletakkan jawatan dan menyatakan sokongan kepada GRS dan PH di kawasan masing-masing.

“Ini bukan sekadar tawaran politik biasa, ini strategi licik untuk menamatkan hayat STAR dari dalam,” kata sumber itu.

Difahamkan, operasi ini sudah mula berjalan secara senyap sejak beberapa minggu lalu. Tujuannya jelas iaitu memastikan STAR tidak lagi menjadi ancaman kepada gabungan GRS-PH pada PRN Sabah ke-17 akan datang.

Dalam kalangan penyokong GRS, STAR kini dianggap tidak lebih daripada parti retorik yang sekadar menunggang slogan “Suara Rakyat Sabah” untuk memancing undi.

“Kalau betul perjuangkan rakyat Sabah, kenapa pemimpin mereka sibuk ulang-alik ke Semenanjung uruskan projek peribadi?” kata seorang penyokong GRS.

Sumber turut mendakwa, pemimpin-pemimpin STAR termasuk Datuk Jeffrey Kitingan sendiri dikaitkan dengan urusan projek-projek lombong mineral bersama ahli perniagaan Albert Tei, individu yang sebelum ini muncul dalam satu video kontroversi rasuah yang kini berlegar di media sosial.

Video tersebut menjadi ‘bukti utama’ yang digunakan oleh pihak tertentu untuk melabel STAR sebagai parti yang menunggang slogan “Sabah for Sabahan”, sedangkan realitinya, kepentingan peribadi lebih diutamakan.

“STAR hanya tinggal enam kerusi DUN sahaja dan ia mesti dikuburkan pada PRN akan datang,” kata seorang penyokong GRS dalam satu pertemuan tertutup.

Naratif ini sedang digerakkan kuat di akar umbi dengan sokongan dana besar dan jaringan politik yang melibatkan nama-nama berpengaruh di peringkat negeri dan persekutuan.

Di pihak STAR pula, mereka menyifatkan usaha ‘membeli sokongan’ dan menekan parti Sabah sebagai pengkhianatan terhadap semangat autonomi Sabah.

“Rakyat Sabah perlu bangkit dan menolak campur tangan luar. Jangan biarkan suara rakyat Sabah lenyap di tangan mereka yang tamak kuasa dan wang,” ujar seorang penyokong tegar STAR di Keningau.

Bagi mereka, gerakan politik yang berselindung di sebalik nama pembangunan ini hanyalah strategi untuk memastikan Sabah kekal dalam genggaman kuasa pusat, sedangkan perjuangan sebenar rakyat Sabah semakin diketepikan.

“Sama ada benar atau tidak dakwaan ini, satu perkara pasti adalah politik Sabah kini memasuki fasa perang saraf yang sangat berisiko. Antara kuasa wang dan semangat perjuangan masa depan STAR dan suara rakyat Sabah kini sedang diuji” katanya lagi

“PRN Sabah ke-17 bukan sekadar pilihan raya negeri biasa, ia adalah medan penentuan sama ada Sabah terus berdiri atas maruah sendiri, atau tunduk pada tawaran RM10 juta yang membunuh prinsip “Sabah for Sabahan.” Tegas penyokong Jeffry

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.