Rasuah "Pilih Bulu" atau Rasuah "Wayang Politik"



KINI Parti Bersatu Sabah (PBS) yang merupakan komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS)  tampil mempertahankan diri daripada dakwaan rasuah oleh Naib Presiden Warisan, Terrence Siambun, yang menuduh parti itu terlibat dalam skandal perlombongan Sabah dengan menerima sumbangan politik daripada ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei.

Pemangku Presiden PBS, Datuk Joachim Gunsalam, menegaskan tuduhan Warisan adalah “melulu, mengelirukan dan bermotif politik”. Menurut beliau, Siambun telah memutar belit kenyataan sebenar dengan cuba menukar isu derma politik kepada naratif palsu rasuah.

“Mengesahkan video itu tulen tidak bermakna mengaku bersalah. Ketulenan dan salah laku adalah dua perkara yang sangat berbeza,” katanya.

Siambun sebelum ini mendakwa pengakuan Gunsalam terhadap ketulenan video membuktikan wujud pertukaran wang antara pemimpin PBS dan ahli perniagaan berkenaan. Bagaimanapun, Gunsalam menegaskan bahawa sumbangan politik bukan jenayah jika dilakukan secara telus dan melalui saluran parti yang betul.

“Sumbangan politik tidak menyalahi undang-undang apabila dibuat secara telus dan berniat baik. Adalah salah dan tidak bertanggungjawab untuk menyamakan setiap sumbangan kepada parti sebagai rasuah,” tegasnya.

Gunsalam yang juga ADUN Kundasang berkata, tuduhan Warisan terhadap PBS hanyalah serangan politik terancang untuk memburukkan parti itu menjelang PRN Sabah ke-17.

Beliau turut menyifatkan gesaan Warisan supaya SPRM bertindak sebagai satu provokasi tidak berasas, yang lebih menjurus kepada perang persepsi berbanding fakta sebenar.

“Rakyat Sabah berhak mendapat kebenaran, bukan sandiwara. Apa yang dipanggil pendedahan ini tidak lebih daripada wayang politik untuk menggugat kestabilan PBS dan mencemar imej kepimpinan,” ujarnya.

PBS menegaskan bahawa kontroversi sebenar perlu difokuskan kepada cubaan pihak luar menguasai industri perlombongan Sabah, bukannya menyerang parti yang menerima sumbangan politik secara sah.

Isu ini dijangka menjadi antara senjata panas kempen PRN17 Sabah, dengan Warisan dilihat cuba menekan PBS di gelanggang persepsi awam namun PBS kononnya tidak akan tunduk dengan permainan politik lawan.

Perkara ini menjadi senjata persepsi dan bukan lagi sekadar soal integriti. Tuduhan terhadap PBS mendedahkan bagaimana naratif rasuah boleh diputar dan dipilih bulu, bergantung siapa kawan dan siapa lawan.

Bila kena pada pihak lawan, ia dijadikan “skandal besar”. Tapi bila melibatkan pihak sendiri, ia jadi “sumbangan politik”. Inilah realiti politik semasa  perang persepsi lebih kuat daripada fakta sebenar.

Akhirnya, rakyat Sabah menjadi hakim. Sama ada ini rasuah sebenar atau wayang politik, keputusan sebenar bakal ditentukan di peti undi PRN17.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.