Gabungan Rakyat Sabah (GRS) nampaknya semakin selesa dengan budaya rasuah yang membarah dalam parti itu apabila nama Datuk Rubin Balang terus disebut-sebut sebagai calon sandaran utama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, biarpun beliau terpalit dengan pelbagai skandal dan pertikaian integriti.
Bagi rakyat Sabah, ini bukan sekadar isu individu tapi ia cerminan kepada budaya politik kotor dan normalisasi rasuah yang telah menjadi darah daging dalam GRS.
Rubin Balang bukan nama asing dalam dunia politik Sabah. Beliau sudah lama dikenali dengan pelbagai kontroversi, termasuk dakwaan penyalahgunaan kuasa dan hubungan tidak sihat dengan kroni politik serta kelompok perniagaan tertentu. Namun, seolah-olah tiada pengajaran yang diambil, kepimpinan GRS tetap mengekalkan beliau dalam senarai calon berpotensi atas alasan “pengaruh tempatan” dan “pengalaman”.
Hakikatnya, inilah punca politik Sabah terus tidak berubah.
Apabila pengaruh peribadi lebih penting daripada integriti, rakyatlah yang menjadi mangsa.
Rasuah Bukan Lagi Aib Dalam GRS
GRS kini berada di ambang krisis moral. Dalam parti itu, skandal rasuah bukan lagi penghalang untuk naik pangkat, malah menjadi tanda keakraban dengan kuasa.
Beberapa ADUN dan pemimpin parti yang pernah dikaitkan dengan kes rasuah lombong mineral, salah guna dana negeri, dan penyelewengan projek awam, masih bebas berpolitik tanpa rasa malu.
Dengan meletakkan tokoh-tokoh seperti Rubin Balang sebagai calon utama, GRS secara tidak langsung menghantar mesej bahawa rasuah bukan jenayah tetapi aset politik.
Rakyat Sudah Muak Dengan “Normalisasi Rasuah”
Rakyat Sabah semakin sedar bahawa GRS bukan lagi wadah pembaharuan.
Dulu dijanjikan pentadbiran bersih dan bebas kronisme, kini parti itu tenggelam dalam lumpur skandal yang dicipta sendiri.
Dari isu lombong mineral hingga pemberian projek tanpa tender terbuka semuanya menunjukkan kerakusan kuasa yang menolak prinsip akauntabiliti.
Lebih memalukan, pimpinan tertinggi GRS masih berdiam diri, seolah-olah tidak mahu menegur atau menapis calon-calon bermasalah. Diam mereka bukan tanda tidak tahu tetapi tanda bersubahat dalam sistem yang rosak.
Sabah Perlu Tolak Pemimpin “Kebal” Dari Dosa Rasuah
Pemimpin seperti Rubin Balang tidak sepatutnya lagi diberi tempat dalam politik moden Sabah.
Zaman “kebal daripada undang-undang” sudah berakhir.
Rakyat kini menilai bukan hanya parti, tetapi watak dan moral calon yang membawa panji mereka.
Jika GRS masih berdegil meletakkan calon-calon tercemar, maka gelombang penolakan rakyat akan menjadi tsunami politik pada PRN kali ini.
GRS perlu sedar menormalisasi rasuah adalah kesilapan strategik paling besar.
Apabila rakyat hilang kepercayaan, tiada lagi kekuatan yang tinggal.
Rubin Balang mungkin dilihat sebagai “calon kuat”, tetapi beliau sebenarnya simbol kepada politik lama yang sarat dengan dosa dan kepentingan diri.
Sabah memerlukan pemimpin baharu dan bukan yang dipalit skandal, tetapi yang berani menolak budaya rasuah secara total.
Jika GRS gagal menapis, rakyat akan menapis mereka di peti undi.
Dari sumber:
Dalam video yang diterbitkan Malaysiakini pada 13 November, cuba menyembunyikan penglibatannya dengan syarikat Wawasan Pembangunan Desa Permai Sdn Bhd.
“Saya periksa syarikat Datuk (Rubin),” kata pemberi maklumat dalam video itu.
“Saya nampak nama anak-anak Datuk, tetapi beberapa bulan sebelum itu, yang ada nama Datuk.”
Rubin dalam rakaman itu menjawab bahawa dia terpaksa melepaskan jawatan berikutan pelantikannya sebagai pengerusi Sedco yang memberi dirinya status setaraf menteri, lengkap dengan gaji dan keistimewaan.
Bagaimanapun, pemberi maklumat itu mendakwa dokumen terkini menunjukkan Rubin masih memegang 58 peratus saham syarikat tersebut sehingga Mac 2023. Selebihnya, 42 peratus saham dipegang oleh salah seorang anaknya, dengan kedua-dua anak Rubin disenaraikan sebagai pengarah syarikat itu.
Lesen perlombongan syarikat itu, meliputi kawasan seluas 2,000 hektar di Tongod, diluluskan oleh Jabatan Tanah dan Ukur pada 14 Julai 2022.
Dalam video yang sama, pemberi maklumat itu mendakwa telah menawarkan RM3 juta kepada Rubin untuk membeli syarikatnya, namun tawaran itu ditolak mentah-mentah oleh Rubin yang menyifatkannya sebagai “membazir masa saya”.
Lesen “Hadiah Politik”
Rakaman itu turut mendedahkan bahawa Rubin mengakui memohon dua lesen penerokaan perlombongan daripada Ketua Menteri Hajiji Noor, tetapi hanya diberikan satu lesen.
Pemberi maklumat itu mendakwa lesen penerokaan mineral seperti itu diberikan sebagai “hadiah” kepada beberapa Adun semasa krisis politik Sabah pada 2022 untuk mendapatkan sokongan mereka terhadap pentadbiran Hajiji.



Comments
Post a Comment