Rasuah: Jeffry Kitingan, STAR Disingkir Dari GRS


Pendedahan mengejutkan oleh ahli perniagaan Albert Tei mengenai pembayaran rasuah berjumlah RM1.78 juta kepada Presiden STAR, Jeffry Kitingan melalui orang tengahnya, terus menggoncang politik Sabah.

Difahamkan, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor segera memanggil mesyuarat tergempar di kediaman rasminya, Sri Gaya. Namun, suasana panas tercetus apabila berlaku pertengkaran hebat antara Hajiji dan Jeffry. Jeffry hanya bertahan 30 minit sebelum meninggalkan mesyuarat dan ini adalah satu isyarat jelas bahawa keretakan dalam GRS semakin parah.

Sumber dalaman mendedahkan bahawa parti STAR pimpinan Jeffry bakal dipecat daripada GRS. Langkah itu dilihat sebagai usaha Hajiji meredakan tekanan rakyat yang semakin muak dengan budaya rasuah yang berakar umbi dalam kepimpinan politik Sabah.

Namun, keputusan itu menimbulkan persoalan besar. Kenapa hanya Jeffry Kitingan dan STAR menjadi kambing hitam? Beberapa pemimpin GRS lantang membangkitkan isu ini, mengingatkan bahawa Hajiji sendiri tidak bebas daripada dakwaan skandal rasuah, khususnya berkaitan projek lombong mineral Sabah.

Lebih mencurigakan, desas-desus mula bertiup kencang bahawa Hajiji sedang mencari jalan selamat dengan membuat perjanjian sulit bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Khabarnya, antara syarat yang dipersetujui ialah jawatan Ketua Menteri Sabah akan diserahkan kepada tokoh Pakatan Harapan, Ruji Ubi.

Jika benar, tindakan Hajiji ini dilihat bukan sahaja sebagai cubaan melepaskan tengkuk sendiri, tetapi juga pengkhianatan terhadap mandat GRS yang selama ini mendakwa membela rakyat Sabah.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.