Suara kerinduan terhadap zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) semakin kuat berkumandang di Sabah setelah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, menegaskan bahawa rakyat Sabah masih mengingati dan merindui era pemerintahan BN yang terbukti membawa kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Saya yakin dan percaya, rakyat Sabah sebenarnya merindui zaman pentadbiran Barisan Nasional. Zaman di mana pembangunan dirancang dengan baik, ekonomi negeri berkembang pesat dan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau, ketika BN mentadbir Sabah, segala pembangunan negeri dilaksanakan dengan terancang bermula daripada projek infrastruktur, pendidikan, kemudahan luar bandar hingga kesejahteraan sosial rakyat.
Semua itu berpaksikan dasar pembangunan yang stabil dan konsisten, bukannya janji bermusim menjelang pilihan raya.
Mohd Rafi menambah, dalam suasana politik Sabah yang sentiasa berubah, rakyat kini menilai semula siapa yang benar-benar membawa hasil kepada negeri tersebut.
“Sudah tiba masanya BN bangkit semula membawa sinar harapan dan kemakmuran kepada rakyat Sabah dalam PRN kali ini,” tegasnya.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru seluruh kepimpinan dan jentera BN Sabah untuk terus bekerja keras, menambat hati rakyat dan kekal dekat dengan masyarakat setiap masa, bukan hanya apabila pilihan raya menjelang.
“Marilah kita bekerja bersungguh-sungguh, menambat hati rakyat dan terus dekat dengan mereka, bukan hanya menjelang pilihan raya tetapi setiap masa, sebagai tanda kasih dan tanggungjawab kita kepada negeri ini,” katanya lagi.
Beliau turut mendoakan agar kepimpinan BN Sabah diberikan kekuatan dan perlindungan oleh Allah SWT untuk terus berkhidmat dengan ikhlas dan berprinsip demi rakyat.
Dengan pembubaran DUN Sabah pada 6 oktober 2025, PRN Sabah Ke-17 bakal membuka lembaran baharu dalam politik negeri itu.
Sebanyak 73 kerusi DUN bakal dipertandingkan, manakala enam lagi akan dilantik selepas pilihan raya.
Sebagai rekod, PRN Sabah Ke-16 pada tahun 2020 menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika itu bersama BN dan PBS berjaya membentuk kerajaan negeri dengan 41 daripada 73 kerusi.
Namun kali ini, rakyat Sabah dijangka membuat penilaian semula berdasarkan prestasi semasa dan kerinduan terhadap kestabilan yang pernah dibawa oleh BN dahulu.
Nada keyakinan Datuk Mohd Rafi menggambarkan semangat baru dalam jentera BN menjelang PRN17 Sabah.
Negeri di bawah bayu itu menikmati pembangunan tersusun, kestabilan politik dan rakyat menjadi keutamaan ketika BN memerintah dahulu.
#MalaysiaHot #PRNSabah17 #BarisanNasional #BNBangkit #SabahMajuJaya #RakyatDidahulukan #MohdRafi #UMNOSabah #SabahFirst #PolitikMalaysia

Comments
Post a Comment