PRN Sabah: Penyamun Masih Berhasrat Ingin Bertanding


Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini bakal menjadi antara yang paling tercemar dalam sejarah politik negeri itu apabila beberapa calon yang terpalit dengan skandal rasuah masih kekal berminat untuk bertanding.

Antaranya termasuk Andi Muhammad Suryady Bandy, ADUN Tanjung Batu, yang kini berdepan pertuduhan di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu berhubung skandal lombong mineral Sabah.


Turut disebut hadir di mahkamah pada 30 Jun lalu ialah ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, menjadikan episod ini sebagai simbol keruntuhan moral dalam politik Sabah moden.

Walaupun telah didakwa di mahkamah, Andi dilaporkan masih mahu dicalonkan semula dalam PRN kali ini dan langkah yang mencerminkan arrogansi politikus Sabah yang seolah-olah kebal daripada undang-undang.


Rakyat pula kini dipaksa menyaksikan satu lagi episod hitam di mana mereka yang didakwa mencuri hasil negeri masih diangkat sebagai ‘pejuang rakyat’.

Sabah kaya dengan sumber alam, tetapi pemimpinnya terus menjarah hasil negeri sementara rakyat kekal miskin dan bergantung pada bantuan tunai sementara.

Apabila individu yang sedang menghadapi tuduhan rasuah boleh bertanding tanpa sekatan, ia memberi mesej jelas bahawa politik negeri ini sudah tidak lagi membezakan antara perjuangan dan penyelewengan.

Lebih membimbangkan, parti-parti politik dilihat berdiam diri, seolah-olah menghalalkan pencalonan individu yang mencemarkan imej kerajaan negeri.

Fenomena ini bukan sekadar krisis politik, tetapi krisis kepercayaan rakyat. Sabah sepatutnya belajar daripada kes lampau betapa rasuah telah melumpuhkan sistem ekonomi negeri dan menafikan hak rakyat terhadap pembangunan sebenar.


Namun, PRN kali ini tampak lebih parah apabila rasuah bukan lagi aib, tetapi dijadikan tiket untuk kembali ke tampuk kuasa.
PRN Sabah kali ini hakikatnya bukan sekadar pertarungan antara parti, tetapi pergelutan antara moral dan kerakusan.

Bila calon yang sudah diheret ke mahkamah masih boleh berdiri megah di pentas kempen, maka Sabah sedang melangkah ke arah politik kleptokrat di mana undi rakyat digunakan untuk mensucikan perompak.

Rakyat Sabah kini perlu sedar bahawa undi mereka adalah benteng terakhir menentang rasuah yang semakin berakar.

Jika mereka masih memilih wajah-wajah yang terbabit dalam skandal, maka Sabah akan terus menjadi negeri kaya yang miskin, diperintah oleh tangan yang sama mencuri hasilnya.
Sabah tidak akan berubah selagi rakyatnya terus memilih penyamun untuk menjadi pemimpin.

PRN kali ini bukan sekadar pilihan raya biasa ia adalah ujian moral rakyat Sabah:
Sama ada memilih pemimpin yang bersih dan berprinsip, atau terus menyerahkan nasib negeri ini kepada mereka yang memperdagangkan amanah demi kuasa dan harta.

Kerana akhirnya, jika rakyat terus memilih yang korup, maka Sabah akan kekal dijajah bukan oleh penjajah luar, tetapi oleh tangan pemimpinnya sendiri.


Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.