Barisan kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini berdepan gelombang dalaman baharu apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury, dilaporkan bersedia meninggalkan kapal yang sedang karam.
Sumber dalaman parti mengesahkan bahawa Datuk Limus kini sedang menilai masa terbaik untuk keluar dari GRS, selepas hilang keyakinan bahawa gabungan itu mampu mempertahankan kerajaan negeri dalam PRN Sabah ke-17 akan datang.
Menurut sumber yang rapat, Datuk Limus sedang menimbang dua langkah strategik, sama ada menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjamin kesinambungan pengaruh politiknya atau meletakkan anak perempuannya sebagai calon pengganti bagi mengekalkan tapak keluarga di Kuala Penyu, kawasan yang lama dianggap kubu peribadi Limus Jury.
Gerakan Limus bukan kes terpencil. Ia menambah kepada senarai pemimpin GRS yang mula menjauh diri, tidak lagi yakin dengan hala tuju gabungan yang kini semakin hilang arah dan kekuatan di peringkat akar umbi.
Difahamkan, Datuk Limus sudah lama tidak hadir ke mesyuarat penting GRS, malah beberapa permohonan projeknya ditolak oleh kerajaan negeri, ini menandakan hubungan beliau dengan pimpinan tertinggi kini membeku sepenuhnya.
Lebih menarik, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang diketahui sebagai sekutu rapat Limus dilaporkan telah cuba memujuknya kembali ke Perikatan Nasional (PN).
Namun usaha itu tidak berjaya, kerana menurut sumber dalaman, Limus sendiri menganggap PN kini “tidak lagi relevan” dan turut kehilangan taring di Sabah.
Langkah Datuk Limus dilihat lebih kepada gerakan perlindungan politik dan ekonomi.
Beliau sedang menilai laluan paling selamat untuk menjaga kepentingan aset, rangkaian perniagaan, dan pengaruh tempatan yang terbina sejak era Barisan Nasional.
Penyertaan anak perempuannya dalam politik dilihat sebagai strategi pewarisan kuasa memastikan pengaruh keluarga tidak lenyap walaupun beliau sendiri mengundur dari pentas utama.
Sekiranya Datuk Limus memilih untuk menyertai PKR, langkah itu akan memberi impak besar kepada blok pembangkang Sabah, terutama di kawasan Melayu-Brunei dan Dusun yang selama ini menjadi benteng BN dan GRS.
Ia juga bakal menjadi pukulan moral terbesar buat GRS, kerana menandakan kehilangan sokongan daripada tokoh-tokoh lama yang pernah memperkukuh kerajaan negeri.
Gerakan Datuk Limus Jury ini bukan sekadar isu keluar parti tetapi ia adalah isyarat keretakan sebenar dalam GRS yang kini mula berpecah antara kepentingan peribadi dan kelangsungan kuasa.
Apabila pemimpin berpengaruh mula mencongak masa depan sendiri, erti kesetiaan dalam GRS sudah tinggal nama.
Cuma persoalan timbul dan rakyat di kawasannya mula bertanya, beliau tinggalkan Hajiji kerana bimbang skandal projeknya yang bernilai lebih RM500juta disiasat SPRM?
Dan seperti kapal besar yang kelihatan megah di luar namun reput dari dalam, GRS kini menunggu masa untuk karam, bukan kerana serangan luar, tetapi kerana kebocoran dari dek sendiri.


Comments
Post a Comment