Sabah bakal menyaksikan pentas politik yang semakin kuat sandiwaranya terutama dari blok GRS menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Di satu sudut, DAP tampil dengan gaya “bersih kononnya” dengan mengumumkan akan menggunakan logo sendiri dan bukan lagi logo gabungan kerajaan GRS-PH. Alasannya mudah, kononnya tidak mahu bersekongkol dengan parti yang terpalit rasuah.
Namun rakyat Sabah bukan pelupa. Mereka tahu siapa yang duduk semeja dan bertepuk meja bersama pemimpin yang sama dituduh kini “terpalit rasuah”.
DAP cuba berlagak seperti ‘pembersih moral’ padahal dulu merekalah yang menyokong GRS atas nama “kerjasama kerajaan perpaduan”. Kini bila sokongan orang Cina makin merosot, DAP mula berpaling tadah mencari jalan untuk selamatkan reputasi DAP yang semakin teruk di Sabah.
Lebih menarik, DAP juga tidak setuju dengan keputusan Pakatan Harapan menamakan anak kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah sebagai calon di Sindumin. Kalau sebelum ini mereka berpakat atas nama kestabilan, sekarang masing-masing sibuk menuding jari dan mencari kambing hitam untuk ditolak ke jurang politik.
Hakikatnya, pengundi Cina sendiri sudah hilang keyakinan kepada DAP. Mereka mula melihat parti itu tidak lebih daripada boneka yang sanggup tunduk demi kuasa dan bukan lagi pejuang prinsip. Apa guna logo baru kalau roh perjuangan sudah mati?
DAP mungkin fikir dengan logo sendiri mereka boleh tampak “independen” dan “berani”. Tapi rakyat tahu, ini bukan keberanian tapi ini tanda ketakutan. Takut kalah, takut ditolak, takut hilang kerusi.
Jadi, menjelang PRN Sabah, langkah DAP ini bukan isyarat kekuatan tetapi pengakuan bahawa kepercayaan rakyat terhadap GRS dan PH sudah sampai ke titik beku.
Logo boleh tukar, naratif boleh ubah namun bau hipokrasi tetap sama dan busuknya tidak boleh disembunyikan.

Comments
Post a Comment