PRN Sabah 17: Bahaya Calon Bermasalah Bertanding Semula, Skandal Dr Yusof Yacob Ujian Integriti Politik Negeri


Skandal rasuah yang mengaitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Dr Yusof Yacob, bukan sekadar isu peribadi seorang wakil rakyat. Ia kini menjadi simbol sejauh mana budaya politik Sabah masih sanggup menormalisasi calon bermasalah untuk kekal berkuasa menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).

Nama Dr Yusof kembali hangat selepas tular video pendedahan oleh Albert Tei, yang mendakwa beliau terlibat dalam perbualan berkait sogokan projek kerajaan negeri. Video berdurasi pendek itu mencetuskan persoalan besar tentang integriti pemimpin negeri, terutama apabila individu yang dikaitkan dengan skandal sebegini masih memegang jawatan penting.

Masih ADUN, Masih Berkuasa, Masih Dipertahan Oleh GRS

Walaupun ketika disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dr Yusof masih kekal sebagai ADUN Sindumin dan terus berperanan dalam urusan politik tempatan. Tiada penggantungan rasmi, tiada tindakan disiplin, dan tiada tanda-tanda beliau akan digugurkan daripada barisan kepimpinan.

Lebih menghairankan, sumber politik Sabah mendedahkan bahawa Dr Yusof masih disebut-sebut untuk kekal menjadi calon dalam PRN-17 sesuatu yang memperlihatkan keberanian luar biasa pihak tertentu mempertahankan imej tercalar demi kepentingan kuasa.

Adakah GRS begitu kekurangan calon berwibawa hingga individu yang sedang disiasat kerana rasuah masih dipertimbangkan untuk bertanding semula?

Rakaman tular yang dikongsi Albert Tei Dr Yusof berbincang mengenai urusan projek dan sogokan wang tunai. Walaupun beliau menafikan dan mendakwa rakaman itu dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), rakyat melihatnya sebagai pemimpin yang terpalit dengan skandal moral dan kewangan walaupun GRS beranggapan dia suci dan bersih.

Lebih parah, dalam dunia politik yang sarat dengan persepsi, penafian tanpa bukti tidak cukup untuk memulihkan nama dan hakikatnya imej Dr Yusof kini menjadi liabiliti besar kepada mana-mana parti yang bersekutu dengannya.

Membenarkan calon seperti ini bertanding semula bukan sekadar soal strategi politik ia adalah pengkhianatan moral terhadap rakyat Sabah. GRS menghantar mesej berbahaya bahawa politik tidak lagi memerlukan maruah, hanya kesetiaan dan pengaruh.

Bayangkan, jika calon yang sedang disiasat SPRM masih boleh diangkat dan diberi mandat rakyat, apa lagi yang membezakan antara pemimpin dan perasuah bertopengkan wajah wakil rakyat?

Apabila politik Sabah mula memaafkan rasuah, negeri ini akan terus dijajah bukan oleh penjajah luar, tetapi oleh tangan-tangan halus yang menjual kuasa untuk laba peribadi.

PRN-17 bakal menjadi medan ujian sama ada rakyat Sabah benar-benar menolak politik kotor atau masih terperangkap dengan politik suku, sogokan dan janji palsu.

Parti politik yang memilih untuk mempertahankan calon seperti Dr Yusof berdepan risiko besar bukan sekadar kehilangan undi, tetapi kehilangan legitimasi moral. Dalam era maklumat terbuka, rakyat tidak lagi mudah diperdaya dengan naratif lama “fitnah politik”.

Rakyat Sabah sudah muak dengan alasan “AI manipulasi”, “musuh politik”, dan “salah faham video”. Mereka mahukan pemimpin yang bersih, tegas dan berani menolak sogokan, bukan pemimpin yang perlu disiasat sebelum disanjung.

Pendedahan video oleh Albert Tei dan reaksi defensif Dr Yusof Yacob membuka mata banyak pihak bahawa masih wujud kelompok pemimpin yang menganggap rakyat akan terus lupa.

Malaysia Hot menegaskan, tiada tempat untuk calon yang sedang disiasat atas dakwaan rasuah untuk bertanding semula. Sabah memerlukan politik baharu yang bebas daripada politik rasuah kuasa dan budaya membeli kesetiaan.

PRN-17 bukan sekadar pilihan raya ia adalah referendum moral rakyat Sabah terhadap masa depan negeri mereka. Sama ada memilih integriti, atau terus hidup di bawah bayang-bayang politik kotor yang tidak pernah serik.

GRS cuba mengajar rakyat Sabah supaya menormalisasi rasuah sebagai sedekah?



Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.